Margin keuntungan segmen farmaseutikal 7-Eleven menyusut kesan daripada persaingan pasaran, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Margin keuntungan segmen farmaseutikal 7-Eleven menyusut kesan daripada persaingan pasaran, kata CGS-CIMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - Margin keuntungan segmen farmaseutikal 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad, Caring Pharmacy menyusut kepada 18.5% kesan daripada sumbangan jualan yang lebih rendah daripada produk margin tinggi seperti kit ujian COVID-19 dan pelitup muka.

 

CGS-CIMB berkata, selain itu segmen itu juga berdepan persaingan harga dalam pasaran farmaseutikal.

 

"Margin keuntungan selepas cukai (PAT) bagi segmen farmaseutikalnya pada 3QFY22 menyusut 3.9% mata tahun ke tahun dan PAT menyusut 55.6% dari tahun ke tahun.

 

"Sementara itu, jumlah cawangan Caring adalah sebanyak 212 pada penghujung 3QFY22," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat lebih sembilan kali ganda kepada RM13.66 juta bagi 3QFY22 berbanding RM1.44 juta setahun sebelumnya.

 

Hasil bagi suku tersebut melonjak 45.28% kepada rekod tertinggi RM988.21 juta daripada RM680.22 juta pada 3QFY21, dibawa oleh sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada kedua-dua kedai serbaneka dan segmen farmaseutikalnya.

 

Dengan itu, kumpulan itu telah mencatatkan rekod tertinggi hasil suku tahunan berikutan rekod tertinggi sebelumnya yang dicatatkan untuk 2QFY22 sebanyak RM943.67 juta.

 

Firma itu berkata, hasil kumpulan bagi 3QFY22 meningkat 4.7% didorong hasil jualan yang lebih tinggi daripada segmen kedai serbaneka (CVS) dan farmaseutikal disebabkan peningkatan jumlah pelanggan selain waktu operasi yang lebih panjang.

 

Bagaimanapu, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 3QFY22 menyusut kepada 11.1% dengan margin keuntungan selepas cukai (PAT) menyusut dengan CVS dan segmen farmasutikal mencatatkan penurunan.

 

"Pendapatan teras bersih kumpulan itu menyusut 40.2% dengan segmen CVS menyusut sebanyak 38.9%," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.62 sesaham. - DagangNews.com