KUALA LUMPUR 17 Jan - AmInvestment Bank Research mengunjurkan masalah kekurangan tenaga kerja Sime Darby Plantation Berhad di Malaysia akan menyusut pada FY23.
Firma itu berkata, kumpulan itu pada kemuncaknya menghadapi kekurangan 8,000 pekerja di Malaysia.
Katanya, pada FY22, kumpulan itu menerima 2,800 pekerja dari Indonesia serta Nepal dan dijangka menerima 7,000 pekerja lagi pada FY23.
"Kami percaya bahawa kumpulan itu memerlukan masa antara dua hingga tiga bulan untuk melatih pekerja baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, penghasilan buan tandan segar (BTS) di Malaysia akan mula menunjukkan peningkatan bermula 2HFY23.
Pada asas kumpulan, kami mengunjurkan bahawa pengeluaran BTS kumpulan akan meningkat sebanyak 5% pada FY23 berbanding penurunan sebanyak 10.5% pada FY22.
"Kami berpendapat industri huluan Malaysia akan mula mencatatkan keuntungan pada 2HFY23. Unit itu merekodkan kerugian RM145 juta dalam 3QFY22," katanya.
Firma itu percaya, kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) kumpulan tidak berubah pada RM2,300 bagi setiap tan pada FY23.
"Jumlah pengeluaran MSM yang lebih tinggi dijangka dapat mengimbangi peningkatan kos upah dan baja.
"Kos gaji dijangka meningkat sebanyak 5% hingga 10% pada FY23 disebabkan oleh tenaga kerja yang lebih besar," katanya.
Firma itu mengunjurkan perbelanjaan modal (capex) kumpulan mencecah RM1.5 bilion pada FY23 sama seperti FY22.
"Kami menganggap bahawa lebih separuh daripada belanjawan adalah untuk penanaman semula dan perumahan pekerja manakala bakinya adalah untuk penapisan sawit baharu kumpulan itu di Indonesia.
"Kilang penapisan sawit baharu itu, yang akan ditempatkan di Sumatera Utara, dianggarkan menelan kos keseluruhan RM600 juta," katanya.
Firma itu menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'pegang' berbanding 'jual' dengan harga wajar (FV) lebih tinggi RM4.40 berbanding RM3.65 sesaham. - DagangNews.com