Mavcom luluskan percantuman persaingan pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Mavcom luluskan percantuman persaingan pertama di Malaysia

Percantuman yang dijangkakan tersebut juga ditakrifkan sebagai ‘pertahanan firma yang gagal’ kerana Asiana Airlines mengalami masalah kewangan untuk tempoh sekian lama. - Gambar : dari laman web Flight Global

 

 

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) hari ini meluluskan percantuman antara Korean Air Lines Co, Ltd. dan Asiana Airlines, Inc.

 

Memandangkan percantuman tersebut melibatkan perkhidmatan penumpang udara antara Korea Selatan dan Malaysia, Korean Air Lines dan Asiana Airlines telah mengemukakan Notis Sukarela dan Permohonan Percantuman Jangkaan kepada Mavcom pada 19 Mac lalu. 

 

Percantuman yang dijangkakan tersebut juga ditakrifkan sebagai ‘pertahanan firma yang gagal’ kerana Asiana Airlines mengalami masalah kewangan untuk tempoh sekian lama dan tidak dapat dipulihkan kecuali dengan percantuman yang dijangkakan.

 

Setelah meneliti permohonan tersebut, Mavcom memutuskan bahawa percantuman tersebut tidak melanggar larangan di bawah Seksyen 54, Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771), yang melarang sebarang percantuman yang akan mengakibatkan Pengurangan Persaingan yang Substantial (SLC) dalam industri penerbangan. 

 

Keputusan yang dibuat Mavcom ini merupakan kes percantuman pertama berkaitan persaingan yang dianalisis oleh mana-mana pihak berkuasa persaingan atau pengawal selia sektor di Malaysia.

 

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, kelulusan yang diberi membabitkan percantuman Korean Air Lines dan Asiana Airlines ini telah mempertimbangkan sepenuhnya maklumat dan maklum balas yang dikemukakan oleh semua pihak serta penyelidikan dan analisis Mavcom.

 

"Keputusan percantuman ini menunjukkan bahawa Bahagian VII: Persaingan Akta 771 setaraf dengan undang-undang persaingan antarabangsa.

 

"Ia juga mencerminkan kemampuan dan kebolehupayaan Mavcom dalam melaksanakan analisis persaingan percantuman yang relevan untuk memastikan perlindungan dan perkembangan industri penerbangan Malaysia yang berterusan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam Keputusan Akhir tersebut, Mavcom menyimpulkan bahawa penguasaan pasaran selepas percantuman Korea Air Lines dan Asiana Airlines bagi satu laluan penerbangan terus antara Seoul, Korea Selatan dan Kota Kinabalu, Malaysia akan menjadi lebih tinggi. 

 

Bagaimanapun, percantuman tersebut tidak akan mengakibatkan sebarang kesan unilateral atau menjadi penghalang bagi kemasukan dan pengembangan pasaran-pasaran berkaitan. 

 

Mavcom juga menyatakan bahawa para penumpang dapat menggunakan kuasa timbal balas pembeli terhadap syarikat-syarikat penerbangan tersebut. 

 

Ini disebabkan peningkatan agensi pelancongan dalam talian serta pengawalseliaan ketat oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan (MOLIT) yang menghalang pihak-pihak yang bercantum daripada menaikkan harga tambang dengan ketara.

 

Selain itu, Mavcom mendapati bahawa percantuman tersebut akan menghasilkan kecekapan ekonomi dan faedah sosial yang signifikan seperti peningkatan taraf keselamatan, pengurangan kos latihan, serta kecekapan yang berkaitan dengan penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO). - DagangNews.com