Maybank IB kekal berhati-hati terhadap prospek VS Industry kesan ketidaktentuan permintaan produk elektronik pengguna | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal berhati-hati terhadap prospek VS Industry kesan ketidaktentuan permintaan produk elektronik pengguna

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) kekal berhati hati terhadap prospek VS Industry Bhd disebabkan ketidaktentuan terhadap permintaan produk elektronik pengguna yang bergantung kepada perkembangan makroekonomi semasa.

 

Katanya, prestasi kumpulan bagi pasaran utama pada 1HFY24 adalah rendah dengan mereka mencatatkan penyusutan jualan sebanyak 25% di Malaysia dan 26% di Indonesia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, untung kasar mereka di Malaysia menurun kepada RM88.3 juta selain mencatatkan kerugian kasar sebanya RM1.7 juta di Indonesia manakala kerugian di China meningkat sebanyak 60% dari tahun ke tahun walaupun merekodkan jualan lebih baik.

 

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan itu buat masa ini dan sedang menunggu keputusan kewangan berikutnya dengan jangkaan pesanan pelanggan lebih baik dengan inventori kembali ke tahap normal pada 2HFY24. 

 

"Pemangkin penilaian semula merangkumi pemerolehan pelanggan baharu dan jumlah yang lebih baik daripada jangkaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Maybank IB berkata, pada 1HFY24, untung bersih teras kumpulan itu menjunam 73% dari tahun ke tahun kepada RM30.8 juta selaras dengan penyusutan hasul sebanyak 16%.

 

Katanya, pengurangan pesanan jualan daripada pelanggan utama membawa kepada kadar penggunaan kilang yang lebih rendah secara keseluruhan.

 

"Dari suku tahun ke suku tahun kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih teras sebanyak RM9.2 juta pada 2QFY24 kesan penguncupan hasil sebanyak 22% akibat pesanan jualan berkurangan.

 

"Ia seterusnya mengakibatkan pengurangan penggunaan loji dan tekanan kos yang membawa kepada pengucupan margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) menguncup sebanyak 3.9% dari suku tahun ke suku tahun," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 71 sen sesaham.- DagangNews.com