Maybank IB kekal ramalan harga minyak mentah Brent melebihi AS$100 setong bagi 2023 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal ramalan harga minyak mentah Brent melebihi AS$100 setong bagi 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan ramalan harga minyak mentah Brent melebihi AS$100/bbl bagi 2023 dengan ia cenderung mencatatkan lebih banyak peningkatan.

 

Firma itu berkata, harga minyak boleh berada melebihi paras AS$100/bbl sekiranya Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum  dan sekutunya (OPEC+) mengambil pendirian untuk melihat dasar harga minyak dinaikkan berbanding pengeluaran yang tinggi. 

 

"Keadaan itu akan mengetatkan lagi bekalan dalam pasaran global yang ketika ini sudah terjejas kerana kekurangan pelaburan jangka panjang selain prospek permintaan yang semakin meningkat (China dan sektor penerbangan)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pemotongan keluaran ‘sukarela’ 1.66 juta tong sehari (bpd) oleh pakatan OPEC+ adalah satu kejutan positif, kerana pasaran menjangkakan status quo sebelum ini.

 

Katanyaa, OPEC+ terus memainkan peranannya sebagai pengeluar yang sukar dijangka dan kekal sebagai pakatan yang sangat berdisiplin.

 

Kumpulan OPEC+ pada 3 April secara kolektif memutuskan untuk secara sukarela mengurangkan pengeluaran minyak mentah sehingga 1.66 juta tong sehari, berkuat kuasa Mei hingga Disember 2023.

 

Rusia dan Arab Saudi akan mendahului pemotongan itu, mengurangkan pengeluarannya sebanyak 500,000 bpd setiap satu, diikuti oleh Iraq (-211,000 bpd), UAE (-144,000 bpd), Kuwait (-128,000 bpd), Kazakhstan (-78,000 bpd) Algeria (-48,000bpd), Oman (-40,000 bpd) dan Gabon (-8,000 bpd) masing-masing.

 

"Pemotongan pengeluaran yang dirancang sudah pasti akan mengetatkan imbangan bekalan-permintaan global, menghapuskan bekalan tidak terjual jangka pendek dan menaikkan harga dasar harga minyak kepada AS$80/bbl.

 

"Langkah ini mengulangi pandangan kami bahawa perikatan OPEC+ sebagai satu kuasa kolektif, dalam membentuk hala tuju pasaran minyak (pengeluaran dan harga minyak) dan secara beransur-ansur beralih dari pengaruh AS.

 

"Pemotongan ini juga bersesuaian kerana sektor ini menghadapi cabaran untuk meningkatkan pengeluaran berikutan tahun kekurangan pelaburan sejak 2014," katanya. - DagangNews.com