Maybank IB mulakan liputan ke atas SAM Engineering dengan saranan 'beli', TP RM6.05 sesaham | DagangNews Skip to main content

Maybank IB mulakan liputan ke atas SAM Engineering dengan saranan 'beli', TP RM6.05 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

 KUALA LUMPUR 6 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) memulakan liputan ke atas SAM Engineering & Equipment (M) Bhd dengan harga sasaran (TP) RM6.05 sesaham. 

 

Katanya, pendapatan pengeluar kontrak pembuat bahagian pesawat dan komponen elektronik itu dijangka meningkat secara purata sebanyak 20% setiap tahun bagi tempoh tiga tahun.

 

"SAM Engineering juga mempunyai pendedahan luas kepada pelanggan dalam segmen semikonduktor," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, sejak 4QFY23, bahagian aeroangkasa SAM Engineering secara konsisten menghasilkan keuntungan, menandakan bahawa unit itu akhirnya berjaya keluar daripada kerugian yang dicatatkan pada FY21 dan FY22.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mempunyai kepakaran dalam pemesinan ketepatan produk aeroangkasa khusus geometri kompleks, kebanyakannya dalam skop nacelles dan kerangka enjin. 

 

Katanya, segmen peralatannya (77% daripada hasil) menyediakan rumusan kejuruteraan peralatan seperti pemesinan ketepatan, fabrikasi logam kepingan, rawatan permukaan, penyepaduan dan automasi, kepada industri semikonduktor dan penyimpanan data.

 

Sam Engineering yang meriah hasil sebanyak 23% daripada sektor aeroangkasa dijangka menyatukan keputusan kewangannya bersama Aviatron Sdn Bhd yang baru diperoleh bermula Februari dan seterusnya.

 

Maybank IB berkata,  pentauliahan Kilang Rojana 2 dan Kilang Ban Bueng 1 untuk segmen peralatannya yang menyediakan perkhidmatan termasuk pemesinan ketepatan dan fabrikasi kepingan logam boleh menjana pendapatan kira-kira RM800 juta setiap tahun.

 

"Kami percaya bahawa kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada melalui kitaran pertumbuhan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

 

"Bagaimanapun kumpulan itu berdepan risiko utama iaitu pemulihan industri semikonduktor global yang lebih perlahan daripada jangkaan," katanya.- DagangNews.com