Maybank IB neutral terhadap langkah pelupusan ekuiti Petronas Chemicals dalam unit baja di Sabah | DagangNews Skip to main content

Maybank IB neutral terhadap langkah pelupusan ekuiti Petronas Chemicals dalam unit baja di Sabah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) neutral terhadap langkah Petronas Chemicals Group Berhad melupuskan 25% ekuiti dalam Petronas Chemicals Fertiliser Sabah. 

 

Firma itu berkata, hasil daripada jualan itu juga tidak mungkin diagihkan sebagai dividen khas tetapi juga akan membantu menampan baki tunai bersih Petronas Chemicals Group.

 

"Secara keseluruhan, kami percaya urus niaga akan mengukuhkan kerjasama sekali sahaja dengan Kerajaan Sabah dan ia tidak mewakili anjakan strategik dalam kumpulan itu atau pengewangan aset induknya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan tersebut mengumumkan penjualan 25% kepentingan ekuiti dalam anak syarikatnya, Petronas Chemicals Fertilizer Sabah kepada SMJ Sdn. Bhd. milik Kerajaan Sabah dengan jumlah pertimbangan RM1.25 bilion.

 

Kumpulan itu sebelum ini telah mengumumkan pelupusan tersebut pada 9 Januari 2023.

 

Firma itu berkata, Petronas Chemicals Fertiliser Sabah merupakan aset pembuatan tunggal di Sabah dan merupakan kemudahan pengeluaran urea dan ammonia bersepadu sepenuhnya dan secara kolektifnya menyumbang 24% daripada segmen baja dan metanol (F&M) kumpulan. 

 

Katanya, ammonia yang dihasilkan oleh kumpulan itu tidak dijual di pasaran terbuka dan digunakan secara dalaman.

 

"Kami menganggarkan pelupusan kepentingan akan mengurangkan kapasiti F&M berkesan Petronas Chemicals Group sebanyak 6%, dan pendapatan FY23-24 sebanyak 3.6%/3.1% (dengan andaian purata harga urea sebanyak AS$400/t dan 30% F&M margin PATMI).

 

"Purata harga jualan (ASP) urea telah menurun secara mendadak sebanyak 67% daripada sejarah tertingginya sebanyak AS$945/t pada 22 April dan sekiranya harga kekal lemah, kami berpendapat pelupusan kepentingan itu adalah tepat pada masanya," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM7.35 sesaham. - DagangNews.com