KUALA LUMPUR 4 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) positif terhadap prospek Aurelius Technologies Berhad dengan unjuran kadar pertumbuhan purata tahunan (CAGR) 30% bagi pendapatan teras dalam tempoh tiga tahun.
Firma itu berkata, aktiviti mengurangkan stok oleh pelanggan sedang berjalan dan dijangka kembali normal pada separuh kedua 2023.
Katanya, pemulihan hasil kumpulan itu akan disokong oleh inisiatif pengembangannya serta pemerolehan pesanan bagi produk baharu.
"Prospek jangka panjang kumpulan kekal positif dengan kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada trend pemindahan rantaian bekalan serta usaha berterusan untuk mempelbagaikan portfolio pelanggannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kadar penggunaan kilang kumpulan itu pada 1QFY24 adalah antara 55% hingga 60% dan berada di bawah paras optimum.
Bagaimanapun, kumpulan itu berjaya mengurangkan sebahagian marginnya melalui gabungan produk yang menggalakkan dan usaha pengurusan kos yang proaktif.
Ia merangkumi pengurusan jumlah pekerja, pengurangan bayaran lebih masa dan kos pengurusan dan utiliti yang lebih rendah melalui pelaksanaan empat hari bekerja seminggu sejak April 2023.
Firma itu berkata, kumpulan itu telah mencapai kejayaan pemasangan panel solar atas bumbung di seluruh P1-P3 dan menerima kelulusan untuk pembangunan 2,578.3kWp.
Katanya, inisiatif itu dijangka menjana penjimatan sebanyak RM125,000 sebulan bermula pada suku ketiga.
"Selain itu, pelaksanaan surcaj ICPT baharu, berkuat kuasa dari separuh kedua tahun kalendar, dijangka menghasilkan penjimatan bulanan pada bil elektrik sebanyak RM25,000.
"Berdasarkan anggaran kasar kami, ini berpotensi mengurangkan kos tetap bekas susut nilai sebanyak 20%," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.61 sesaham.- DagangNews.com