Maybank IB semak naik unjuran pendapatan CIMB bagi FY24-FY26 sehingga 2% didorong kos kredit rendah | DagangNews Skip to main content

Maybank IB semak naik unjuran pendapatan CIMB bagi FY24-FY26 sehingga 2% didorong kos kredit rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak naik unjuran pendapatan FY24-FY25 CIMB Group Holding Bhd antara 1% hingga 2% selepas mengambil kira kos kredit yang lebih rendah sebanyak 35bps bagi FY24 dan 32 bps bagi FY25 hingga FY26. 

 

Unjuran pulangan ekuiti (ROE) mereka sebanyak 10.8% adalah hamper menyamai sasaran pengurusan antara 11% hingga 11.5%.

 

"Keuntungan bersih CIMB pada suku pertama 2024  sebanyak RM1.94 bilion adalah dalam jangkaan masing-masing pada 26% daripada ramalan dan konsensus setahun penuh kami.

 

"Prestasi kukuh dengan pendapatan operasi meningkat 13% dari tahun ke tahun, disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang baik sebanyak 7%, pengembangan margin untung bersih (NIM) sebanyak 3bps dari suku tahun ke suku tahun dan peningkatan 27% dalam pendapatan bukan faedah (NOII)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih CIMB pada suku pertama 2024 melonjak 17.7% kepada RM1.94 bilion

 

Terdahulu, hasil CIMB bagi suku berkenaan juga melonjak kepada RM5.6 bilion berbanding RM4.99 juta pada 1QFY23.

 

Prestasi positif itu diterjemahkan kepada peningkatan pulangan ekuiti (ROE) kepada 11.4% berbanding 10.3% pada tahun lalu selain pendapatan sesaham sebanyak 18.2 sen.

 

Pendapatan operasi bagi suku pertama meningkat 12.6% kepada RM5.63 bilion, didorong oleh pertumbuhan pendapatan faedah bersih (NII) dan NOII.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan bagi suku pertama 2024 adalah sejajar dengan sasaran pengurusan bagi FY24.

 

Katanya, ia merangkumi pertumbuhan pinjaman antara 5% hingga 7%, NIM stabil kepada 5bps manakala nisbah kos/pendapatan adalah 46.9% dan kos kredit antara 30 hingga 40bps dan ROE 11% hingga 11.5%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM7.70 sesaham," katanya. - DagangNews.com