Maybank IB semak naik unjuran pendapatan FY24 Kossan sebanyak 34% didorong peningkatan kapasiti pengeluaran | DagangNews Skip to main content

Maybank IB semak naik unjuran pendapatan FY24 Kossan sebanyak 34% didorong peningkatan kapasiti pengeluaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak naik unjuran pendapatan FY24 Kossan Rubber Industries sebanyak 34% didorong peningkatan kapasiti pengeluaran sarung tangan kepada 26.5 bilion keping setahun berbanding 25 bilion keeping sebelum ini.

 

Katanya, unjuran itu juga berdasarkan peningkatan kadar penggunaan kilang sebanyak 65% berbanding 60%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan kadar penggunaan itu adalah selepas penutupan empat kilang lama pada tahun lalu

 

"Memandangkan prospek margin bertambah baik disebabkan permintaan sarung tangan yang lebih kukuh dan purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi daripada pesaingnya dari China.

 

"Kami menjangkakan Kossan melaporkan pendapatan pendapatan lebih baik pada suku akan datang apabila mereka mengurangkan kos bahan mentah yang lebih tinggi ketika ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kossan kembali catat untung bersih RM31.5 juta pada 1QFY24 didorong harga gas asli lebih rendah

 

Maybank IB berkata, selain keuntungan tukaran mata wang asing dan keuntungan nilai saksama RM5.4 juta ke atas asset kewangan, untung bersih teras kumpulan itu adalah sebanyak RM25.1 juta menyumbang 27%/18% anggaran FY24 dan konsensus.

 

Katanya, kunci kira-kira kumpulan itu kekal kukuh dengan tuani bersih RM2.1 bilion pada akhir suku pertama tahun ini.

 

"Kami terus menyukai Kossan kerana pendapatan yang pelbagai (sarung tangan & produk getah teknikal) dan kunci kira-kira yang kukuh," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.72 sesaham.- DagangNews.com