Maybank IB semak turun unjuran kerugian FY24 Eco World International sebanyak 3.9% | DagangNews Skip to main content

Maybank IB semak turun unjuran kerugian FY24 Eco World International sebanyak 3.9%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran kerugian FY24 Eco World International Bhd sebanyak 3.9% selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk pengurangan kos pengurusan dan pemasaran. 

 

Katanya, antara faktor lain yang turut diambil kira adalah cadangan pengurangan modal selain tiada pelancaran hartanah baharu bagi jangka pendek disebabkan pasaran mencabar di United Kingdom (UK).

 

Firma penyelidikan itu berkata, tidak termasuk keuntungan tukaran mata wang asing sebanyak RM5.6 juta dan kerugian rosot nilai sebanyak RM7.2 juta, kumpulan itu mencatat keuntungan teras bersih sebanyak RM1.8 juta dengan ramalan kerugian bersih FY24 lebih kecil dari tahun ke tahun sebanyak RM18 juta. 

 

Katanya, Eco World International kembali mencatat keuntungan pada 1QFY24 disebabkan penyerahan unit yang lebih tinggi di Australia.

 

"Bagaimanapun, memandangkan kebanyakan stok tidak terjual sedang dijual, sumbangan daripada projeknya di Australia dijangka lebih rendah pada suku berikutnya.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan kumpulan itu kembali mencatat kerugian pada suku akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Eco World International kembali catat untung bersih RM302,000 pada 1QFY24 didorong keuntungan tukaran mata wang asing

 

Maybank IB berkata, jualan suku berikutnya mungkin lebih rendah kerana unit yang lebih besar mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk dijual.

 

Katanya, sehingga akhir Februari 2024, kumpulan itu mempunyai stok siap bernilai RM600 juta.

 

"Eco World International berhasrat untuk menjual stok itu antara FY24 dan FY25 selain mengagihkan lebihan tunai sebagai dividen kepada pemegang sahamnya selepas mengambil kira keperluan modal kerjanya.

 

"Kumpulan itu juga bercadang untuk melaksanakan langkah pengurangan modal kedua bagi memudahkan pembayaran dividen," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 29 sen sesaham. - DagangNews.com