Maybank IB unjur rugi bersih teras Cypark pada FY24 meningkat kepada RM37 juta | DagangNews Skip to main content

Maybank IB unjur rugi bersih teras Cypark pada FY24 meningkat kepada RM37 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan rugi bersih teras Cypark Resources Bhd bagi FY24 meningkat sebanyak 56% kepada RM37 juta selepas mengambil kira keputusan kewangan 3QFY24 yang lemah.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun menyemak naik unjuran untung bersih FY25 kumpulan itu sebanyak 117% kerana menjangkakan pembinaan projek hospital swasta akan siap pada pertengahan Jun 2024 (sebelum ini Januari 2024).

 

"Tiada sebarang perubahan kepada unjuran kemenangan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), kami mengandaikan penambahan buku pesanan EPCC bagi FY25/26 masing-masing sebanyak RM150 juta.

 

"Kumpulan itu juga memberi fokus kepada penyiapan projek program solar berskala besar (LSS) selain meneroka peluang berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam solar dan segmen loji sisa kepada tenaga (WTE) ," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kerugian bersih teras 9MFY24 sebanyak RM21.4 juta adalah besar kesan sumbangan yang lebih rendah daripada pengurusan sisa dan WTE serta pengiktirafan operasi pembinaan yang lebih perlahan daripada jangkaan.

 

Maybank IB berkata, pengurusan sisa dan WTE merekodkan kerugian kasar sebanyak RM33 juta akibat musim hujan di Negeri Sembilan yang menjejaskan tahap kelembapan sisa, membawa kepada kecekapan loji yang lebih rendah.

 

Katanya, operasi pembinaan juga lemah disebabkan kemajuan kerja yang lebih perlahan bagi projek hospital swasta 10 tingkat untuk Selgate.

 

"Sehingga kini, hasil yang diiktiraf untuk projek itu ialah RM21.9 juta daripada jumlah kontrak penuh sebanyak RM108.8 juta," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada Disember 2023, Cypark memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Abu Dhabi Future Energy Company PJSC bagi projek RE di Malaysia.

 

Katanya, kerjasama itu akan meneroka pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), dengan matlamat untuk mewujudkan projek 1GW di negara ini.

 

"Cypark juga sedang meninjau peluang bagi mengembangkan operasi RE di Sarawak," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 86 sen sesaham. - DagangNews.com