Maybank IB unjur untung bersih AmBank meningkat 5.7% pada FY25 dan FY26 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB unjur untung bersih AmBank meningkat 5.7% pada FY25 dan FY26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan AMMB Holdings Berhad (AmBank) mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak 5.7% pada FY25 dan FY26 dengan prospektif  pulangan atas ekuiti (ROE) sebanyak 8.7%.

 

Katanya, margin faedah bersih (NIM) pulih daripada 1.76% pada 1QFY24 kepada 1.82% pada 2QFY24 dan 1.79% pada 3QFY24, bagaimanapun terdapat sedikit tekanan pada 4QFY24 tetapi antara 1 hingga 2bps.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan keadaan itu, NIM bagi FY24 berkemungkinan berada sekitar 1.79% dan masih berada dalam panduan pengurusan.

 

"Kami menganggarkan NIM kumpulan berada sekitar 1.79% bagi FY24 dan 1.82% pada FY25.

 

"Jangkaan peningkatan pada FY25 itu sebahagian besarnya berdasarkan peralihan kumpulan daripada segmen seperti gadai janji kepada segmen margin yang lebih baik seperti komersial," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Maybank IB berkata, pertumbuhan pinjaman kumpulan agak ketinggalan dan berkemungkinan menamatkan tahun kewangannya, Mac ini pada paras 3%.

 

Katanya, pertumbuhan pinjaman kumpulan itu diunjurkan sebanyak 2.8% bagi FY24 dan 3.2% pada FY25.

 

"Peningkatan tumpuan kepada pinjaman akan memberikan hasil lebih baik dalam ruang komersial dan korporat dan kami menjangkakan NIM bertambah baik pada FY25.

 

"Kami juga mengambil kira peningkatan tiga mata asas dalam NIM FY25 kumpulan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, nisbah pinjaman terjejas kasar kumpulan masih meningkat pada peringkat ini (terutamanya dalam portfolio pengguna), sejajar dengan industri, tetapi dengan pemulihan perlindungan kerugian pinjamannya kepada 112% yang selesa pada akhir Disember 2023.

 

Bagaimanapun, mereka mengekalkan andaian kos kredit dinaikkan pada 30 mata asas masing-masing pada FY24E dan FY25E.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM5.05 sesaham," katanya. - DagangNews.com