KUALA LUMPUR 23 Nov. - Malayan Banking Bhd. (Maybank) melanjutkan tempoh permohonan bantuan bayaran balik pinjaman hingga 30 Jun 2021 bagi membantu kedudukan kewangan pelanggan individu serta perusahaan kecil dan serderhana (PKS).
Maybank berkata, pelanggan yang memerlukan bantuan tersebut masih boleh menghubungi pihak bank untuk berbincang dan mendapatkan pakej bantuan pembayaran balik yang paling sesuai dengan keadaan semasa mereka.
"Keutamaan kami adalah untuk memastikan pelanggan terus mendapat akses kepada bantuan yang diperlukan bagi mendepani masa yang sukar ini.
"Setakat ini, pihak kami telah memproses lebih 90,000 permohonan bantuan pembayaran balik yang diterima daripada pelanggan dan telah diluluskan mengikut kelayakan proses permohonan.
"Daripada jumlah permohonan yang diluluskan ini, hampir 45% telah diberi penangguhan pembayaran pinjaman dan pembiayaan mereka," jelas Maybank dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, Maybank turut menawarkan bantuan pembayaran balik secara bersasar (TRA) untuk melengkapkan pakej bantuan pembayaran balik yang sedia ada.
TRA disediakan kepada pelanggan individu dan usahawan mikro bermula hari ini hingga 30 Jun 2021.
Melalui TRA, pelanggan diberi pilihan pengangguhan ansuran tiga bulan atau pengurangan ansuran sebanyak 50% selama enam bulan bagi pinjaman dan pembiayaan pelanggan.
Permohonan TRA yang layak akan berkuat kuasa bermula 1 Disember 2020 hingga 30 Jun 2021.
Bank tersebut memberitahu, proses permohonan TRA juga telah dipermudah untuk kumpulan yang terpilih.
"Bagi pelanggan B40 dan perusahaan mikro yang memenuhi syarat TRA adalah tidak memerlukan kepada proses dokumentasi, sementara pelanggan M40 yang berdaftar melalui Bantuan Perihatin Nasional pula hanya perlu menyediakan penyata diri untuk permohonan bantuan berkenaan," tambah Maybank lagi. - DagangNews.com