Maybank tawar 3 cara mohon lanjutan moratorium | DagangNews Skip to main content

Maybank tawar 3 cara mohon lanjutan moratorium

Maybank

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Malayan Banking Bhd (Maybank) menyediakan tiga pilihan mudah bagi pelanggannya yang ingin membuat permohonan Pakej Bantuan Pembayaran Balik pinjaman mulai hari ini.

Maybank dalam satu kenyataan berkata, pertamanya, pelanggan boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui aplikasi Maybank2u bagi pelanggan individu tidak termasuk sewa beli.

"Bagi pelanggan ketegori individu, mereka juga boleh membuat permohonan melalui emel di alamat [email protected]. atau [email protected] untuk pelanggan PKS.

"Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh mengunjungi atau menghubungi mana-mana cawangan, Pusat PKS atau Pusat Pembiayaan Auto di seluruh negara," jelas Maybank.

Pakej Bantuan Pembayaran Balik akan disesuaikan mengikut keperluan pelanggan dalam menangani cabaran yang dihadapi pelanggan seperti kehilangan pekerjaan, pengurangan gaji atau gangguan operasi perniagaan.

Moratorium pertama mula dijalankan selama enam bulan bermula April dan dijangka tamat pada 30 September 2020.

Namun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini  mengumumkan tempoh pinjaman atau moratorium dilanjutkan lagi selama tiga bulan sehingga Disember 2020 bagi individu yang masih hilang punca pendapatan atau perusahaan yang menghadapi krisis kewangan.

Dalam laporan DagangNews.com juga, Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah turut menyeru orang ramai untuk berurusan dengan pihak bank bermula hari ini bagi mengelak sebarang masalah yang timbul di saat-saat akhir.

Jelas Maybank lagi, pihaknya secara proaktif menghubungi pelanggannya untuk menawarkan pilihan Pakej Bantuan Bantuan Pembayaran Balik bagi meringankan beban kewangan akibat COVID-19.

"Bank akan terus menghubungi pelanggan dan turut berharap pelanggan yang memerlukan bantuan pembayaran semula juga dapat menghubungi bank dengan kadar segera.

""Memandangkan tarikh akhir permohonan adalah pada 30 September, bank menyarankan agar pelanggan mula membuat permohonan lebih awal supaya pengurusan pembayaran balik dapat diluluskan sebelum berakhirnya moratorium," kata Maybank lagi. - DagangNews.com