MBSB jalin kerjasama dengan PERTIWI bantu individu, keluarga miskin | DagangNews Skip to main content

MBSB jalin kerjasama dengan PERTIWI bantu individu, keluarga miskin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Menyedari isu sosial yang dihadapi oleh individu dan keluarga terpinggir, Malaysia Building Society Berhad (MBSB) bergabung tenaga dengan Persatuan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi MBSB Soup Kitchen.

 

Dianjurkan secara bulanan, MBSB Soup Kitchen merupakan tunjang kepada inisiatif CSR syarikat, yang dijayakan dengan bantuan sukarelawan Kumpulan MBSB yang terdiri daripada kakitangan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

 

"Diadakan di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, makanan panas dan keperluan asas diagihkan kepada mereka yang menghadapi masalah ekonomi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MBSB

 

Antara penerima bantuan, seorang ibu kepada lima anak berusia 51 tahun, melahirkan rasa syukur apabila menerima barangan keperluan asas dan berkongsi ada ketikanya dia hanya dapat menyediakan nasi kosong dan telur untuk keluarganya selepas berhenti kerja kerana sakit dan suaminya bekerja sebagai tukang kebun dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan.

 

Seorang lagi penerima iaitu seorang warga emas berusia 62 tahun yang tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan, bergantung kepada bantuan bulanan ini untuk menampung kehidupannya.

 

MBSB memperuntukkan lebih RM200,000 untuk menyokong keluarga miskin bandar dengan kerjasama PERTIWI sehingga Disember 2024. - DagangNews.com