MCE Holdings jalin kerjasama dengan Abhishek Business Consolidation luaskan perniagaan ke India | DagangNews Skip to main content

MCE Holdings jalin kerjasama dengan Abhishek Business Consolidation luaskan perniagaan ke India

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - MCE Holdings Berhad menerusi MCE Ventures Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Abhishek Business Consolidation Private Limited untuk jalinan kerjasama bagi mengembangkan kehadirannya di India.

 

Menerusi jalinan kerjasama itu, kedua-dua syarikat akan menubuhkan syarikat kerjasama yang dikenali sebagai Abhishek K Auto Components Pvt. Ltd. bagi mempromosikan, mengilang dan memasarkan produk di India.

 

Kerjasama itu menetapkan bahawa MCE Ventures perlu menyediakan teknologi bagi pembangunan produk, bantuan teknikal dan maklumat bagi membolehkan syarikat kerjasama itu mempromosi dan mengeluarkan produk di India dengan pembayaran royalti.

 

"MCE Ventures hendaklah menyediakan bantuan kepada JVC untuk menubuhkan barisan pengeluaran dan mewujudkan sistem kawalan kualiti yang merangkumi pelantikan ketua jabatan yang berkaitan untuk fungsi pengeluaran, kejuruteraan dan kawalan kualiti.

 

"Abhishek Business Consolidation pula akan mempromosikan produk di India dan juga akan memberikan bantuannya syarikat kerjasama bagi menubuhkan kilang termasuk tetapi tidak terhad kepada mendapatkan sambungan utiliti yang berkaitan dan pengambilan kakitangan.

 

"Apabila mula beroperasi, syarikat itu dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kumpulan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, MOU itu tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas modal terbitan dan berbayar, aset bersih dan pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024.

 

MOU itu tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan mana-mana pihak berkuasa kawal selia kerajaan.- DagangNews.com