MCMC buka kertas siasatan terhadap Awesome TV | DagangNews Skip to main content

MCMC buka kertas siasatan terhadap Awesome TV

PUTRAJAYA 21 Feb - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membuka kertas siasatan terhadap stesen Awesome TV di bawah Seksyen 208 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) dan Kod Kandungan.

 

Ia adalah susulan aduan terhadap laporan yang disiarkan oleh stesen televisyen Awesome TV mengenai cadangan mengurangkan bilangan penjawat awam, baru-baru ini.

 

Dalam kenyataan media, MCMC berkata, suruhanjaya telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Awesome TV pada 20 Februari 2023 untuk mendapatkan penjelasan lanjut. 

 

"Satu kertas siasatan akan dibuka oleh MCMC di bawah Seksyen 206 AKM 1998 iatu kegagalan mematuhi syarat lesen. 

 

"Apabila kertas siasatan dilengkapkan, ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut. 

 

"Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 242 iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali," kata MCMC.

 

Menurut suruhanjaya itu lagi, MCMC memandang serius terhadap aduan pengguna dan komited dalam usaha mempertingkat tahap pematuhan para pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I) supaya kandungan yang disiarkan mencerminkan budaya, identiti dan norma-norma masyarakat, selaras dengan AKM 98 dan Kod Kandungan.

 

Setiap aduan yang diterima akan diteliti berdasarkan peruntukan AKM 1998, peraturan-peraturan yang berkaitan di bawahnya dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. 

 

"Antara tatacara/proses aduan yang dibuat adalah seperti memanggil pihak penyiar yang diadukan untuk tampil mengemukakan penjelasan bagi menentukan bentuk tindakan penguatkuasaan yang akan diambil," kata MCMC. - DagangNews.com