Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Julai - Sebarang penyebaran berita atau kandungan tidak benar terutamanya melalui aplikasi pemesejan dalam talian seperti WhatsApp mampu mengakibatkan ketakutan, panik, kegusaran atau kekecohan kepada orang awam.
Bukan itu sahaja, kegiatan tersebut juga berpotensi memudaratkan negara terutamanya dalam keadaan menghadapi pandemik COVID-19.
Sekiranya anda menerima kandungan atau berita tidak benar, apa yang perlu dilakukan?
MCMC menggesa mana-mana pihak yang terkesan dengan penyebaran berita palsu untuk mengambil langkah-langkah berikut;
1) Membuat laporan polis
- Membuat laporan polis di balai polis yang berdekatan bagi membolehkan siasatan dijalankan.
- Sertakan sekali dengan bukti seperti tangkap layar (screenshot) serta pautan (URL) kepada kandungan berkenaan, termasuklah maklumat seperti nama dan maklumat individu (ID akaun dan nombor telefon) yang melakukan sebaran untuk membantu siasatan.
2) Membuat kenyataan penafian
- Membuat kenyataan penafian atau penjelasan terhadap sebarang dakwaan yang tidak benar atau tidak tepat.
- Ia bagi menghentikan berita atau kandungan berkenaan daripada terus disebarluaskan.
3) Membuat laporan penyalahgunaan secara terus
- Membuat laporan penyalahgunaan secara terus kepada penyedia platform seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, TikTok dan sebagainya.
- Ia bagi memastikan penggunaan adalah mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka, yang berpangkalan di luar negara.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat yang diragui kesahihannya melalui ruangan “Salur Kepada Kami” (https://sebenarnya.my/salur/) di portal Sebenarnya.my.
MCMC komited untuk terus memberi bantuan teknikal kepada pihak PDRM dalam siasatan yang akan membantu tindakan penguatkuasaan.
"Berhenti menyebarluaskan sebarang kandungan yang diragui atau tidak ditentukan kesahihannya.
"Ini adalah tanggungjawab kita secara kolektif dalam mengekang penyebaran maklumat atau berita tidak benar dan seterusnya memutuskan rantaian berita tidak benar yang boleh mendatangkan mudarat," kata MCMC. - DagangNews.com