MDEC galak syarikat guna e-dagang | DagangNews Skip to main content

MDEC galak syarikat guna e-dagang

 


KUALA LUMPUR 23 Okt. - Perusahaan kecil, sederhana dan mikro (MSME) di negara ini perlu menggunakan e-dagang bagi membolehkan mereka bertahan dalam apa jua keadaan termasuk berdepan pandemik COVID-19. 

Pengarah E-Dagang Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Song Hock Koon berkata, MSME perlu belajar untuk menyesuaikan diri pada tempoh mencabar ini supaya mampu berkembang pada masa hadapan. 

"Selain menggunakan e-dagang, sudah tiba masanya syarikat di negara ini menyedari potensi sepenuhnya perkhidmatan ini. 

"Ini kerana dengan e-dagang, peniaga boleh mendapat akses kepada pelanggan di seluruh dunia tanpa bergantung kepada kedai fizikal semata-mata," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut beliau, pemasaran dalam talian dan platform digital juga merupakan alternatif terbaik untuk MSME memandangkan mereka tidak mempunyai bajet yang besar untuk pemasaran. 

"Melalui pemasaran digital, mereka boleh menembusi kumpulan pelanggan sasaran berdasarkan pilihan dan minat mereka," katanya. 

Katanya, bagi MSME yang menyediakan produk atau perkhidmtaan khusus, pemasaran digital adalah kos yang sangat efektif kerana dapat membantu meningkatkan jualan. 

Hock Koon menyifatkan kejayaan yang diraih Amazon di Amerika Syarikat (AS) telah melonjak sejak sedekad lalu. 

"Ini sekali gus membolehkan pemain seperti Lazada dan Shopee di Asia Tenggara membuka pintu kepada pelanggan di seluruh dunia," katanya. 

Beliau berkata, inisiatif e-dagang MDEC menyediakan pelbagai program untuk MSME yang boleh membantu mereka memperluaskan pasaran, meningkatkan keupayaan pemasaran dalam talian dan memperkukuhkan rangkaian bekalan.  - DagangNews.com