MDEC lancar gerakan #SayaDigital | DagangNews Skip to main content

MDEC lancar gerakan #SayaDigital

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Inisiatif terbaharu, gerakan #SayaDigital dilancarkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membantu melonjakkan lagi pertumbuhan digital negara.

Inisiatif tersebut turut mendapat kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

MDEC dalam satu kenyataan berkata, melalui inisiatif itu, rakyat Malaysia akan diberi ruang dan peluang yang ditawarkan oleh ekonomi digital negara bagi melahirkan masyarakat digital sekali gus merangsang negara ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) seterusnya mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"#SayaDigital dilancarkan dengan empat tujuan utama iaitu digital memudahkan kehidupan, menambah pendapatan, memperkasa kerjaya serta meluaskan perniagaan.

"Beberapa program turut dijalankan melalui inisiatif tersebut sepanjang Ogos 2020 ini bagi mempertingkatkan kemahiran digital perniagaan dengan cara pantas dan berstruktur," jelas MDEC.

Sidang Kemuncak Digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dianjurkan baru-baru ini berjaya menarik lebih daripada satu juta peserta digital.

Program yang dijalankan selama tiga hari itu mendedahkan pelaksanaan penyelesaian digital kepada usahawan yang ingin memulakan semula dan mengembangkan lagi perniagaan.

Mengulas lanjut berkaitan inisiatif gerakan #SayaDigital, MDEC memberitahu, gerakan tersebut akan mengfokuskan kepada peningkatan penggunaan digital dalam kalangan perniagaan bagi dua minggu pertama.

Dua minggu selanjutnya, gerakan itu akan membuka peluang kepada rakyat untuk belajar dan meningkatkan kemahiran penggunaan digital masing-masing.

Bagi inisiatif dari 21 hingga 30 Ogos seperti The Young Creators, Minggu #MYDigitalWorkforce dan ekspo Gig dan Freelance (GFX) akan menumpukan kepada usaha memupuk kemahiran bakat digital, meningkatkan kemampuan rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan berdasarkan kemampuan melalui pekerjaan digital yang bersesuaian.

"Kandungannya akan dilaksanakan secara maya sepenuhnya, terdiri daripada sesi webinar, perbincangan panel dan peluang perbincangan digital. Pameran kerjaya digital, pertandingan dalam talian serta acara satelit lain juga akan dijalankan selama dua minggu.

"Sesi yang dijalankan turut melibatkan pakar industri dan sektor awam yang akan menyumbang pandangan dan nasihat berkaitan corak perniagaan norma baharu," tambah MDEC. - DagangNews.com