Surina Shukri (kiri) dan Frank Koo
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan LinkedIn untuk meningkatkan penglibatan digital dalam perniagaan dan membangunkan bakat digital di negara ini.
Dimeterai pada 22 Julai lepas, MoU berkenaan memberi fokus kepada dua bidang strategik iaitu Meningkatkan Penglibatan Digital dan Melengkapkan Bakat Digital.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, dua perkara yang menjadi elemen penting kepada syarikat pada hari ini ialah memiliki penglibatan digital yang kukuh dan bakat digital yang berdaya saing.
"Pada akhirnya, kerjasama antara MDEC dan LinkedIn akan membantu memastikan perniagaan tempatan kekal kompetitif di peringkat dunia selaras dengan matlamat Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
"Kerjasama strategik dengan LinkedIn ini merupakan salah satu bukti usaha berterusan MDEC bagi meningkatkan libat urus dengan syarikat teknologi global untuk menangani cabaran dalam ekonomi digital dan memperkukuhkan tenaga kerja digital dalam usaha kami membantu pemulihan ekonomi Malaysia dan menyediakan peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan.
MoU berkenaan pertamanya akan menyaksikan kerjasama dalam meningkatkan penglibatan digital dalam kalangan syarikat tempatan bagi memastikan mereka kekal relevan serta efektif ketika menerokai persekitaran digital.
Ini akan melibatkan pelbagai aktiviti termasuklah webinar untuk menambah baik halaman LinkedIn syarikat dan juga membina halaman korporat antarabangsa menggunakan platform berkenaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Keduanya, MoU berkenaan akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama dalam pelbagai inisiatif untuk membangunkan bakat digital di Malaysia.
Ini termasuklah program yang sedang berlangsung ketika iaitu Let’s Learn Digital 2021, di mana LinkedIn menawarkan kursus Jejak Pemasaran Digital kepada rakyat Malaysia.
LinkedIn juga akan berkoordinasi degan MDEC bagi memperkenalkan sesi popular iaitu ‘Rock Your Profile’ kepada pensyarah dan penuntut di Institut Teknologi Digital Premier (PDTI) MDEC.
Sesi berkenaan menyediakan petua bagaimana pengguna LinkedIn berpotensi merealisasikan kreativiti di profil LinkedIn mereka selain nasihat berkenaan profil, hantaran catatan panjang dan alatan LinkedIn lain yang digunakan oleh agensi professional untuk meningkatkan produktiviti dan kejayaan.
Ketua Asia Penyelesaian Bakat dan Pembelajaran LinkedIn, Frank Koo memberitahu, COVID-19 telah mempercepatkan proses penerimaan platform digital di seluruh Asia Tenggara dan telah menyebabkan banyak perubahan dalam sektor pekerjaan.
"Oleh itu, persediaan perniagaan dan pekerja dengan kemahiran dan keupayaan digital telah menjadi perkara yang sangat penting untuk membantu mereka kekal relevan.
"Kami amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan MDEC untuk memastikan perniagaan dan pekerja bersedia untuk bersaing dalam persekitaran digital pada hari ini," katanya lagi. - DagangNews.com
Pengumuman MoU antara MDEC dengan LinkedIn telah dilakukan di #MyDigitalWorkforce Week, iaitu pada minggu ketiga Malaysia Tech Month 2021 (MTM’21) MDEC. - DagangNews.com