MEDAC hantar cadangan SOP diperketatkan untuk pembukaan sektor PKS Mikro | DagangNews Skip to main content

MEDAC hantar cadangan SOP diperketatkan untuk pembukaan sektor PKS Mikro

Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan) menyampaikan cadangan SOP diperketatkan kepada Ismail Sabri Yaakob (kiri) dalam satu perjumpaan hari ini.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah menghantar cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan kepada kerajaan untuk mempercepatkan pembukaan semula sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro, terutamanya kategori First to Close Last to Open (FLCO). 

 

Cadangan itu telah dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada Timbalan Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu perjumpaan hari ini.

 

Antara prosedur berwajib yang dicadangkan termasuk pemilik perniagaan dan pekerja perlu melengkapkan dua dos suntikan vaksinasi COVID-19, mereka juga perlu menjalankan ujian saringan COVID-19 setiap minggu dan penutupan serta-merta premis bagi tujuan sanitasi sekiranya terdapat kes penularan yang dikesan.

 

Wan Junaidi berkata, walaupun MEDAC menyokong sepenuhnya pembukaan lebih banyak aktiviti ekonomi, namun tidak dinafikan penting untuk mewujudkan SOP jelas supaya perniagaan dapat beroperasi dengan biasa secara selamat dan terkawal. 

 

Berdasarkan perbincangan dengan ahli industri, katanya, ramai yang menzahirkan kesanggupan untuk beroperasi di bawah SOP lebih ketat dan akan memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa.

 

“Malah, mereka (ahli industri) sangat proaktif dan bekerjasama dalam hal ini. SOP yang diperketatkan disediakan oleh MEDAC sebenarnya merupakan usaha bersama antara kementerian dan ahli industri di mana mereka juga memberikan input,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Cadangan SOP tersebut menumpukan kepada enam aktiviti ekonomi di bawah kategori FCLO termasuk makanan dan minuman (makan dalam restoran), pusat beli-belah, kedai jam tangan, rawatan kaki dan tangan (perkhidmatan dandanan), salun kecantikan dan rambut. 

 

Hampir separuh daripada aktiviti perniagaan yang dikenal pasti dimiliki oleh usahawan wanita, antara kumpulan yang paling terjejas akibat pelaksanaan ‘lockdown’ di seluruh negara. 

 

Dalam pada itu, SOP itu juga difahamkan meliputi garis panduan yang menyeluruh bermula daripada pengendalian pelanggan, pengurusan pekerja, tempoh operasi dan penyelenggaraan premis untuk memastikan kesemuanya mematuhi keperluan keselamatan selepas COVID-19.

 

Sebelum ini, Wan Junaidi menekankan bahawa sektor PKS Mikro yang menyumbang hampir 40% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir runtuh sekiranya ‘lockdown’ di seluruh negara berterusan. 

 

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh MEDAC, dijangkakan kira-kira 580,000 perniagaan mewakili 49% daripada sektor tersebut berisiko ditutup menjelang Oktober depan sekiranya tidak dibenarkan beroperasi.

 

Penutupan perniagaan itu juga mencerminkan lebih daripada 7 juta rakyat Malaysia dijangka menganggur. - DagangNews.com