Media Chinese dijangka berhentikan 800 kakitangan dalam tempoh 2 tahun, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Media Chinese dijangka berhentikan 800 kakitangan dalam tempoh 2 tahun, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Media Chinese International Ltd diramal memgurangkan sekitar 44% atau 800 kakitangan dalam tempoh dua tahun selepas menggabungkan kecerdasan buatan (AI) ke dalam operasinya, kata Kenanga Research.

 

Kumpulan merupakan penerbit akhbar China Press, Sin Chew Daily, dan Nanyang Siang Pau.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat itu sedang meneroka integrasi AI untuk menyelaraskan operasi dan berharap untuk menjana hasil daripada harta intelektual atau kandungan berita pada masa depan.

 

"Atas dasar ini, Media Chinese telah memulakan latihan dalaman untuk kakitangannya bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk menggunakan alat AI secara efektif.

 

"Kumpulan itu akan bekerjasama dengan penerbit tempatan melalui Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia untuk "mendekati dan melibatkan syarikat-syarikat AI multinasional secara kolektif"," katanya dalam satu nota kajian.

 

Saham Media Chinese menyusut sebanyak 3.7% pada tahun ini, meneruskan trend penurunan dalam beberapa tahun terakhir kerana syarikat itu berjuang dengan pendapatan yang berkurang akibat berdepan kerugian.

 

Kumpulan itu melaporkan kerugian bersih terbesarnya sejak 1998, berjumlah RM61 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2024 (FY24).

 

Kenanga Research berkata, Media Chinese mungkin mengurangkan tenaga kerjanya sehingga 44% sebagai sebahagian daripada usaha penyusunan semula yang sedang berlangsung.

 

"Kumpulan itu menganggarkan bahawa tenaga kerjanya mungkin berkurang dari 1,800 kepada kira-kira 1,000 pekerja pada masa depan," katanya.

 

"Secara ringkas, tenaga kerja merupakan pemacu kos yang paling signifikan bagi mereka, membentuk kira-kira 50% daripada kos keseluruhan diikuti oleh kertas berita pada kira-kira 20%," katanya.

 

Jika kos penerbitan meningkat, firma penyelidikan berkata, kumpulan itu mungkin menutup kilang percetakannya di Johor dan Pulau Pinang serta memusatkan operasi kilangnya di Petaling Jaya.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research berkata, kumpulan itu optimis terhadap peningkatan hasil kewangannya selepas mengalami kerugian pada FY23-FY24.

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 11 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com