Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 5 Julai - Di sebalik langkah kumpulan media gergasi di negara ini, Media Prima Bhd. membeli semula Balai Berita di Bangsar, namun, ia masih berdepan faktor negatif susulan penjualan saham Mitsubishi UFJ Financial Group Inc's secara agresif.
Perkara ini pernah dibangkitkan firma penyelidikan, CGS-CIMB dalam nota kajiannya bertarikh 17 Jun lalu, yang mana tindakan tersebut menyebabkan harga sahamnya susut sehingga 40% daripada paras tertinggi, 75 sen pada Mac 2021.
Setakat 11.35 pagi ini, saham Media Prima susut 2.25% pada 43.5 sen sesaham dengan 438,800 saham diniiagakan.
"Media Prima masih berdepan risiko negatif terutama Mitsubishi UFJ yang masih menjual sahammnya dalam kumpulan ini hingga menyebabkan berlakunya 'overhang' kepada harga saham.
"Dalam pada itu, penjualan iklannya juga semakin menurun tahun ke tahun," jelas firma berkenaan dalam nota kajian hari ini.
CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' kepada saham Media Prima dengan harga sasaran, 88 sen.
Baca : Tindakan Mitsubishi UFJ di dalam Media Prima dipersoal penganalisis saham
Sebelum ini, CGS-CIMB mendedahkan Mitsubishi UFJ mula menjual saham Media Prima pada 12 April 2021, dengan lebih 12 juta atau 1.1% daripada jumlah saham syarikat dijual ke pasaran terbuka setakat ini.
Ketika Mitsubishi UFJ menjual saham Media Prima itu, penjualannya mencatatkan peratusan dua digit daripada jumlah perolehan kaunter tersebut, melonjak setinggi 68.6% dalam masa sehari.
Menurutnya lagi, yang memetik dakwaan sumber menerusi beberapa laporan media, Mitsubishi UFJ didakwa memegang saham-saham berkenaan untuk Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
Pada 2018, Media Prima terbabit dalam perjanjian urus niaga jualan dan pajak bersama PNB Development, melibatkan aset milik The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd termasuk Balai Berita Bangsar.
Kumpulan dilaporkan mahu membeli semula ibu pejabat itu pada nilai RM156.4 juta setelah menjualnya pada harga RM118.7 juta ekoran berdepan dengan kemelut kewangan.
Baca : Media Prima beli balik Balai Berita dari PNB bernilai RM156.4 juta
Mengenai langkah pembelian semula itu, CGS-CIMB menyifatkan langkah tersebut adalah 'neutral' memandangkan ia dapat menjimatkan kadar bayaran sewa sebanyak RM8.6 juta setahun.
"Apabila pajakan tamat tahun ini, kemungkinan kadar semua ini juga akan lebih tinggi," katanya.
Di samping itu, tambahnya, dalam keadaaan pasaran hartanah ketika ini, Media Prima mungkin perlu mengenalpasti beberapa lokasi yang bersesuaian bagi menampung segmen kandungannya yang semakin berkembang.
"Sehubungan itu, kami berpendapat, dengan membeli semula Balai Berita adalah tindakan terbaik setakat ini," tambahnya
Firma itu berkata, Media Prima juga akan kembali mencatat keuntungan selepas mengambil pendekatan strategik mempelbagaikan asas pendapatan dan pengiklanan.
"Ini dapat dilihat berdasarkan aliran tunai operasi bersih yang kukuh dengan sebanyak RM46.7 juta dijana dalam tempoh 3 bulan sehingga Mac 2021 berbanding defisit RM14.9 juta bagi tempoh sama tahun lalu," katanya.
Sementara itu, Kenanga Research berkata, saham Media Prima masih dilihat sebagai pilihan yang baik buat mereka yang mahu terus melabur dalam sektor media berdasarkan prestasi kewangannya.
Penganalisisnya, Pritika Modhgil berkata, pendapatan kumpulan media ini kembali pulih baru-baru ini dan mampu mengekalkan keuntungan bagi tiga suku berturut-turut.
"Walaupun Media Prima berada di bawah jangkaan disebabkan jualan iklannya menurun, tetapi kumpulan mampu kembali untung setelah berjaya melaksanakan langkah pengawalan kos pada tahun kewangan 2020," katanya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor media, dengan meletakkan harga sasaran Media Prima pada 69 sen.
Mengulas mengenai prospek sektor media, menurut Pritika, penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa pertama di bawah Pelan Pemulihan Negara sejak 1 Jun lalu akan terus memberi kesan kepada perbelanjaan pengiklanan (adex) pada suku berikutnya terutama membabitkan sektor media cetak.
"Bagaimanapun, dengan keyakinan kerajaan untuk mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok menjelang Disember ini, kami percaya prospek sektor ini akan lebih baik pada suku keempat dan seterusnya," katanya. - DagangNews.com