Median upah bulanan 6.67 juta pekerja formal Malaysia catat peningkatan 4.9% kepada RM2,900 pada Disember 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Median upah bulanan 6.67 juta pekerja formal Malaysia catat peningkatan 4.9% kepada RM2,900 pada Disember 2023 - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Median upah bulanan pekerja formal warganegara meningkat sebanyak 4.9% pada Disember 2023 kepada RM2,900 berbanding Jun 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah pekerja formal Malaysia pada Disember 2023 adalah sebanyak 6.67 juta orang meningkat sebanyak 1.8% berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. 

 

Katanya, dari sudut pekerja formal mengikut jantina, pekerja formal lelaki meliputi 55.5% daripada keseluruhan pekerja formal atau bersamaan dengan 3.7 juta orang pada Disember 2023. 

 

"Median upah bulanan untuk pekerja formal lelaki adalah sebanyak RM2,945 manakala pekerja formal perempuan yang merangkumi 44.5% (2.97 juta orang) daripada keseluruhan pekerja formal menerima RM2,845," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Melihat kepada perincian statistik, median upah bulanan tertinggi adalah bagi kumpulan umur  45 hingga 49 tahun iaitu RM3,927 pada Disember 2023. Kumpulan umur itu juga menerima median upah bulanan tertinggi pada Oktober 2023 (RM3,500) dan November 2023 (RM3,500). 

 

dosm

 

Pada Disember 2023, semua kumpulan umur mengalami  peningkatan median upah bulanan jika dibandingkan dengan Disember tahun lepas, kecuali mereka yang berumur bawah 20 tahun. 

 

Sementara itu, median upah bulanan pekerja formal warganegara Malaysia bawah 20 tahun adalah RM1,500 pada Disember 2023, kekal tidak berubah selama 19 bulan berturut-turut.

 

Mohd Uzir berkata, pada suku tahun keempat 2023, semua sektor merekodkan peningkatan median upah bulanan dengan sektor perlombongan dan pengkuarian  menerima median upah bulanan tertinggi iaitu RM6,844 pada Disember 2023, walaupun hanya mewakili 0.6% daripada keseluruhan pekerja formal. 

 

dosm
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

 

Beliau berkata, sektor itu juga mengalami peningkatan tahun ke tahun tertinggi bagi median upah bulanan dengan 7.7% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

"Bagaimanapun, sektor pertanian yang meliputi 1.9% pekerja formal, mencatatkan median upah bulanan terendah iaitu RM2,300 dengan peningkatan 3.3% pada Disember 2023," katanya.

 

Beliau berkata, median upah bulanan menunjukkan peningkatan positif tahun ke tahun bagi semua negeri pada tiga bulan terakhir 2023. 

 

Katanya, tiga negeri yang mencatatkan median upah bulanan yang lebih tinggi berbanding median upah bulanan nasional RM2,900 adalah Kuala Lumpur dengan median upah bulanan tertinggi iaitu RM4,045 diikuti Pulau Pinang sebanyak RM3,245 dan Selangor sebanyak RM3,164. 

 

"Pada masa yang sama, Kelantan, Perlis dan Sabah mencatatkan median upah bulanan terendah pada Disember 2023, masing-masing sebanyak RM1,600, RM1,700 dan RM1,882," katanya.

 

Mohd Uzir berkata, 31.2% daripada pekerja formal warganegara memperoleh upah bulanan di bawah RM2,000, menunjukkan penurunan daripada 33.7% berbanding tahun sebelumnya. 

 

"Sementara itu, 10.7% pekerja formal warganegara Malaysia memperoleh upah bulanan sebanyak RM10,000 dan ke atas pada Disember 2023," katanya. - DagangNews.com