Mediha Mahmood dilantik Ketua Pegawai Eksekutif CMCF | DagangNews Skip to main content

Mediha Mahmood dilantik Ketua Pegawai Eksekutif CMCF

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - Mediha Mahmood dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) berkuat kuasa 1 November 2023.

 

Beliau sebelum ini merupakan Pengarah Eksekutif CMCF dan jawatan baharu itu adalah sebagai pengiktirafan sumbangannya dan komitmen CMCF dalam memajukan piawaian industri.

 

Pengerusi CMCF, Kenny Ong berkata, jawatan baharu itu menandakan kepercayaan yang diberikan kepada kepimpinan yang cemerlang oleh Mediha ketika beliau terus meningkatkan peranan dan tanggungjawabnya.

 

"Di CMCF, komitmen kami untuk memupuk ekosistem kawal selia kendiri kandungan untuk industri yang berkembang maju ini tetap teguh. Kami dengan penuh harapan menantikan masa depan yang lebih cerah di bawah kepimpinan Mediha sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

 

“Komitmen dan kepimpinan beliau telah menjadi sebahagian penting dalam kejayaan kami, dan pelantikan ini merasmikan peranan penting beliau dalam mengemudi organisasi kami ke arah matlamatnya, sambil mengukuhkan komitmen kami terhadap piawaian industri. 

 

"Dengan bimbingan Mediha, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk mempertahankan kawal selia kendiri dan amalan terbaik industri, memastikan CMCF kekal sebagai suara utama dalam membentuk amalan kandungan yang bertanggungjawab dan beretika di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Mediha merakamkan penghargaan terhadao pengiktirafan itu dan menekankan komitmen untuk memperjuangkan kawal selia kendiri dan dialog berterusan dengan pihak berkepentingan dalam ekosistem kandungan. 

 

Beliau juga menyatakan visi beliau untuk mengukuhkan celik media dan memberi kuasa kepada orang ramai bagi merangkul penciptaan kandungan yang bertanggungjawab. 

 

Aspirasi beliau adalah untuk membentuk masa depan di mana amalan kandungan beretika dan inovatif menjadi asas landskap digital, meninggalkan kesan positif yang berkekalan kepada industri. - DagangNews.com