MedKAD keluarkan kit ujian kendiri COVID-19, buatan pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

MedKAD keluarkan kit ujian kendiri COVID-19, buatan pertama di Malaysia

SALIXIUM dijadualkan berada di pasaran pada 19 Julai 2021.
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Julai - MeDKAD Sdn Bhd (MeDKAD) memperkenalkan produk kit ujian kendiri rapid antigen COVID-19, iaitu SALIXIUM yang merupakan produk buatan Malaysia pertama dari jenisnya dan telah diluluskan untuk penjualan di dalam negara oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

 

SALIXIUM menggunakan teknologi immunoassay aliran lateral untuk mengesan
antigen SARS-CoV-2 dalam spesimen swab air liur dan dinding bahagian dalam hidung.

 

Ia boleh digunakan oleh makmal perubatan atau pekerja kesihatan bagi ujian tempat rawatan (point-of-care) dan ujian kendiri oleh umum di rumah.

 

Menurut Pengurus Projek di bawah MeDKAD, Syahriah Razak, ujian mudah itu mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk keseluruhan proses dan hasil ujian dilihat daripada kawasan garis ujian yang mengesahkan kehadiran antigen.

 

Syahriah Razak
Syahriah Razak

 

“Bila spesimen yang mengandungi antigen SARS-CoV-2 ditambahkan kepada pad sampel, ia akan bertindak balas terhadap conjugate (COVID-19 antibodi-gold conjugate) untuk membentuk kompleks, bergerak di sepanjang membran nitroselulosa atas prinsip kapilari dan melekat pada COVID-19 antibodi yang ditetapkan di kawasan garis ujian.

 

“Kehadiran atau ketidakhadiran antigen SARS-CoV-2 ditentukan dengan kemunculan garis merah jambu-ungu di kawasan tersebut. Sekiranya spesimen tidak mengandungi antigen SARS-CoV-2, tiada jalur warna akan muncul dan ini menandakan bahawa ujian adalah negatif.

 

“Untuk berfungsi sebagai kawalan prosedur, jalur warna akan muncul di kawasan kawalan produk tanpa mengira kehadiran atau ketiadaan antigen SARS-CoV-2 dalam sampel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ujar beliau lanjut, sebanyak 242 sampel swab calitan air liur atau hidung diuji dengan SALIXIUM dan hasil kajian dibandingkan dengan spesimen yang diuji menggunakan real-time RT-PCR di mana telah diluluskan oleh FDA Emergency Use.

 

Berdasarkan kepada perbandingan tersebut, hasil ujian menunjukkan bahawa ukuran sensitiviti SALIXIUM adalah 91.23% dan ukuran spesifikasi adalah 100% - iaitu hasil yang amat mengagumkan bagi kit ujian kendiri.

 

“Kit ujian ini telah melepasi penilaian berdasarkan hasil ujian makmal yang dikeluarkan oleh Institute of Medical Research (IMR),” katanya lagi.

 

MeDKAD ditubuhkan pada tahun 2016 dengan misi untuk memperkasa sebuah ekosistem kesihatan yang adil dan berfaedah (“Empower a Fairer Health Benefits Ecosystem”).

 

Sejajar dengan aspirasi menjadi pembekal kepada keperluan kesihatan, dan meluaskan pasaran B2B kepada B2C pada tahun 2021, MeDKAD telah memperoleh kepakaran untuk mebangunkan, menghasilkan bersama dan memasarkan SALIXIUM di Malaysia.

 

Selain Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob menjelaskan, MeDKAD merancang untuk menembusi negara-negara lain di Asia, Eropah dan Timur Tengah.

 

Ezuan Yaacob
Ezuan Yaacob

 

SALIXIUM juga telah pun digunakan dengan meluas di Perancis, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu terutamanya di Dubai, katanya.

 

“SALIXIUM dijadualkan berada di pasaran pada 19 Julai 2021. Ianya adalah objektif utama kami untuk memastikan agar kit ujian kendiri ini boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia, efektif dari segi kos dan dipercayai untuk mendapatkan hasil ujian pantas tentang jangkitan virus SARS-CoV-2.

 

“Kami masih di dalam proses mendapatkan pensijilan halal bagi SALIXIUM. Walaubagaimanapun, kit ujian ini telah disahkan bebas dari kandungan babi dan tidak mengandungi sebarang kesan DNA haiwan oleh Halvec Laboratories Sdn Bhd,” ujar beliau. - DagangNews.com