MEF : PIKAS harus diperluaskan kepada 17 sektor penting | DagangNews Skip to main content

MEF : PIKAS harus diperluaskan kepada 17 sektor penting

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) harus mengutamakan sektor industri kritikal yang menghadapi risiko tinggi dijangkiti COVID-19 dan memperluaskannya kepada 17 sektor penting, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).


 
Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, syarikat yang mempunyai jumlah tenaga kerja yang ramai tinggal di penginapan berpusat seperti di sektor pembinaan harus diberi keutamaan dan dimasukkan dalam program tersebut.

 

“Keadaan tempat tinggal dan persekitaran tempat kerja industri ini adalah tidak kondusif dan terdedah kepada penyebaran COVID-19 kerana tiada penjarakan fizikal.

 

"Kami menyokong pelaksanaan PIKAS  untuk  beberapa pengeluar tertentu, keutamaan harus diberikan kepada mereka yang memerlukan vaksin sekarang untuk mencegah jangkitan," katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama.

 

Selain itu, Syed Hussain majikan daripada sektor ekonomi lain juga ingin  menyertai  PIKAS, ia  akan melancarkan program vaksinasi di kilang-kilang dan lokasi kawasan perindustrian yang akan bermula 16 Jun ini.

 

Sehubungan itu, pelaksanaan pantas PIKAS sangat penting, pada masa ini, katanya.

 

Pekerja di subsektor pembuatan termasuk elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, besi dan keluli, peralatan perubatan, peralatan pelindung diri, minyak dan gas, dan produk getah termasuk subsektor pembuatan sarung tangan perubatan buat masa ini diutamakan untuk program vaksinasi di bawah PIKAS.

 

"Difahamkan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) setakat ini menerima permohonan kira-kira 500 syarikat dengan jumlah 106,591 pekerja untuk mahu menyertai program itu secara sukarela dalam PIKAS.

 

"Berdasarkan struktur  yuran  yang disediakan oleh MITI, kos  untuk vaksinasi yang ditanggung oleh majikan adalah sekitar RM45 untuk setiap pekerja. Jumlah berkenaan wajar dan munasabah kerana kerajaan akan menanggung kos vaksin," katanya.

 

Syed Hussain berkata majikan tidak dibenarkan mengenakan kos kepada pekerja.

 

Bagaimanapun, MEF berpendapat kerajaan harus mempertimbangkan untuk memberikan rebat cukai atau pengecualian cukai kepada syarikat terhadap kos yang perlu ditanggung selepas penyertaan dalam program sukarela tersebut.

 

"MEF juga telah  memohon supaya PIKAS  disediakan untuk ahli-ahlinya dan sedang menunggu kelulusan daripada  Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV),” katanya. - DagangNews.com