MELP pupuk rakyat cekap tenaga sejajar matlamat neutral karbon menjelang 2050 -TNB | DagangNews Skip to main content

MELP pupuk rakyat cekap tenaga sejajar matlamat neutral karbon menjelang 2050 -TNB

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berucap merasmikan pelancaran Siri Pertama Pembelajaran MELP anjuran TNB di Leo Moggie Convention Centre, TNB Platinum Bangsar, Kuala Lumpur.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Julai - Program Malaysia Energy Literacy (MELP), anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) memupuk rakyat menjadi pengguna cekap dalam usaha menjayakan peralihan tenaga sejajar dengan matlamat neutral karbon negara menjelang 2050.

 

TNB telah melancarkan siri pertama pembelajaran MELP bertemakan "Kecekapan Tenaga – Pemangkin Ke Arah Peralihan Tenaga" pada 16 Julai 2024 di Kuala Lumpur.

 

Program dua hari itu menyediakan platform komprehensif melalui sesi forum, ceramah, dan pameran melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk institusi pengajian tinggi, kementerian, agensi kerajaan, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

Selain itu, program yang dianjurkan bersama Suruhanjaya Tenaga dan TNB Integrated Learning Solutions (ILSAS) itu turut menarik lebih 250 peserta, termasuk 100 pelajar universiti, pegawai kerajaan, agensi berkaitan, serta para pemimpin industri.

 

jhjjh
Ketua Pegawai Ekesekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan menemani Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan delegasi lain ke reruai pameran yang disediakan sepanjang program berlangsung.

 

 

Dalam kenyataan media hari ini, TNB berkata program berterusan itu dijangka meningkatkan indeks celik tenaga sebanyak 2%-3% setahun dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta pelanggannya. 

 

Program itu juga berlandaskan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan sasaran 20-30% penjimatan melalui amalan kecekapan tenaga dalam sektor domestik, industri dan komersil.

 


Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengulaskan kepentingan kecekapan tenaga sebagai pemangkin peralihan tenaga negara, serta menyeru semua pihak untuk bekerjasama dalam mengoptimumkan penggunaan tenaga bagi mencapai masa depan yang lebih lestari.

 

"Rakyat perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk memahami agenda peralihan tenaga untuk menangani cabaran Trilema Tenaga iaitu jaminan bekalan, kemampanan dan kebolehmampuan demi memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik,” kata beliau. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan menekankan peranan penting generasi muda dalam menerajui inovasi baharu dalam tenaga, digitalisasi dan memajukan teknologi hijau.

 

"Generasi pewaris yang dididik dengan sikap progresif dan kesedaran terhadap kemajuan bukan sekadar pengguna elektrik, tetapi juga memahami impak kemampanan tenaga terhadap bumi dan kehidupan manusia,” ujar beliau.- DagangNews.com