Menanti penyerahan OPV 1 APMM pada 24 Julai, jangan ada kelewatan lagi setelah lama tertangguh | DagangNews Skip to main content

Menanti penyerahan OPV 1 APMM pada 24 Julai, jangan ada kelewatan lagi setelah lama tertangguh

Gambar menunjukkan OPV 1 tanpa meriam yang disiarkan laman media sosial Malaysia Military Review.
Fokus Berita oleh Zaki Salleh

DALAM tempoh dua minggu lagi, kapal pesisir pantai (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sangat dinanti-nantikan bakal diserahkan kepada pasukan tersebut.

 

Tarikh ini sepertimana diumumkan pihak atasan APMM kepada media pada April lalu yang mana OPV pertama (OPV 1) daripada tiga buah kesemuanya diserahkan pada 24 Julai.

 

Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution semasa mengadakan lawatan mengejut ke lokasi pembinaan kapal di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Berhad, Pulau Indah, Selangor bulan Mac.

 

Berdasarkan pembentangan ketika lawatan rombongan tersebut, pihaknya yakin OPV 1 akan diserahkan kepada APMM pada tarikh yang dijanjikan itu.

 

Dua bulan sebelumnya iaitu pada 6 Januari juga semasa melawat ke sana, Saifuddin meminta projek pembinaan OPV disiapkan mengikut tempoh ditetapkan iaitu pada Mac bagi OPV 1 dan Oktober hadapan (OPV 2).

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution semasa melawat limbungan THHE pada Mac lalu.
Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Saifuddin Nasution (kanan) semasa melawat limbungan THHE pada Mac lalu.

 

Saifuddin bersama pemangku Ketua Pengarah APMM, Datuk Saiful Lizan Ibrahim (kiri) dalam pertemuan bersama pengurusan THHE.
Saifuddin bersama pemangku Ketua Pengarah APMM, Datuk Saiful Lizan Ibrahim (kiri) dalam pertemuan bersama pengurusan THHE.

 

Beliau, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal pertama.

 

Anjakan tarikh penyerahan daripada Mac kepada 24 Julai ini bermakna THHE memerlukan tambahan masa kira-kira empat bulan untuk melunaskan janji menyerahkan kapal berkenaan.

 

Ini juga memberi gambaran bahawa OPV 2 dan OPV 3 yang masih dalam pembinaan bakal mengalami kelewatan.

 

Mengikut jangkaan sebelum ini, OPV2 diserahkan pada penghujung tahun ini iaitu beberapa bulan selepas siap OPV1.

 

Disebabkan pengumuman tarikh baharu, maka hasrat untuk melihat OPV 1 hadir pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa (LIMA) di Langkawi Mei lalu tidak kesampaian.

 

Projek OPV APMM yang dilancarkan pada tahun 2017 sepatutnya siap tiga tahun lepas.
Projek OPV APMM yang dilancarkan pada tahun 2017 sepatutnya siap tiga tahun lepas.

 

Sekiranya OPV 1 ini berlabuh di Langkawi masa itu sudah pasti ia menjadi satu lagi paparan berita tentang kejayaan industri pertahanan tempatan.

 

Bagaimana pun, sejauh mana OPV 1 dapat diserahkan pada 24 Julai ini kembali menimbulkan persoalan berikutan komponen penting kapal masih belum ada.

 

Ini berdasarkan beberapa foto kapal tersebut yang tersiar dalam laman media sosial, Malaysia Military Review menunjukkan senjata utama pada bahagian hadapan OPV 1 belum dipasang.

 

Keadaan OPV 1 tanpa meriam juga dilihat semasa lawatan penuntut Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) ke limbungan berkenaan pada 22 Jun lalu.

 

Gambar lawatan penuntut MTAT pada Jun lalu menunjukkan keadaan OPV 1 tanpa meriam.
Gambar lawatan penuntut MTAT pada Jun lalu ke limbungan THHE menunjukkan keadaan OPV 1 tanpa meriam.

 

Gambar lawatan ini turut dikongsi pada laman media sosial.

 

OPV 1 dilengkapi dengan selaras meriam kaliber 30mm Smash Aselsan buatan Turkiye iaitu jenis meriam sama yang dipasang pada enam buah kapal peronda APMM kelas Bagan Datuk.

 

Sebelum ini media tempatan melaporkan bahawa punca kelewatan penerimaan kapal pada Mac disebabkan isu penerimaan peralatan utama yang diperoleh dari luar negara seperti meriam dan bot.

 

Jika benar sistem persenjataan itu belum dipasang, maka kemungkinan penyerahan OPV 1 tertangguh lagi kerana meriam tersebut merupakan komponen penting.

 

Meriam kaliber 30mm Smash Aselsan adalah satu sistem yang kompleks dan perlu diintegrasikan dengan sistem kawalan tembakan yang mana proses ini memerlukan tempoh tertentu.

 

Meriam 30mm Smash Aselsan pada kapal KM Bagan Datuk.
Meriam 30mm Smash Aselsan pada kapal KM Bagan Datuk.
 

 

Ia bukan semata-mata kerja memasang meriam tetapi menguji keseluruhan sistem dan melakukan beberapa fasa ujian penembakan di laut sebelum sistem berkenaan ditauliahkan.

 

Persoalan juga timbul adakah OPV 1 tetap diserahkan pada tarikh 24 Julai tanpa meriam utama sekiranya konsep pembinaan secara 'Fitted For, But Not With' (FFBNW) dipilih.

 

FFBNW membawa maksud kapal boleh dilengkapkan dengan sistem persenjataan seperti meriam pada masa hadapan kerana tempat pemasangannya telah ada.

 

Konsep FFBNW pula bukanlah asing kerana ia telah diguna semasa pembinaan enam buah kapal peronda generasi baru (NGPV) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

FFBNW juga merupakan satu solusi untuk menjimatkan kos pembinaan kapal.

 

Konsep FFBNW yang diguna pada kapal NGPV TLDM.
Konsep FFBNW diguna pada kapal NGPV TLDM.

 

Ia bagaimana pun tidak mungkin pada OPV 1 kerana meriam 30mm Smash Aselsan ini telah pun diperoleh.

 

Gambaran sebenar status projek OPV dan jangkaan penyerahan kapal sepatutnya dibuat oleh kerajaan melalui kementerian yang terlibat sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kewangan (MOF).

 

Sepertimana diketahui umum, projek OPV 1 telah diambil alih oleh kerajaan menerusi MOF pada Januari selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

 

MOF terpaksa menyuntik pinjaman RM152.6 juta menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan tahun ini.

 

KDN pula sebagai kementerian yang menaungi APMM iaitu pasukan keselamatan yang bakal mengoperasikan kapal tersebut sudah pasti menantikan aset ini.

 

Gambaran grafik menunjukkan rupa bentuk OPV APMM yang sedang belayar.
Gambaran grafik menunjukkan rupa bentuk OPV APMM yang sedang belayar. 

 

Mengikut kontrak asal, projek OPV APMM ini sepatutnya siap pada tahun 2020 iaitu tiga tahun lepas.

 

Sejak OPV 1 diluncurkan ke air pada Oktober tahun lalu, tiada gambar atau sebarang kenyataan dikongsi pihak-pihak terbabit, malah tiada sebarang liputan tentang ujian-ujian yang dijalankan di laut dipaparkan.

 

Memandangkan OPV APMM ini merupakan sebuah projek nasional, maka sepatutnya sebarang perkembangan semasa kapal wajar dikongsi dengan rakyat Malaysia.

 

Mahu tidak mahu, pencerahan perlu diberikan. - DagangNews.com