Mengapa agensi kerajaan masih bertindih? | DagangNews Skip to main content

Mengapa agensi kerajaan masih bertindih?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

PERCAYA atau tidak, persoalan pertindihan tugas dan peranan agensi kerajaan sudah lama menjadi isu, sudah dibincangkan secara mendalam dan sudah juga dilakukan sesuatu sejak zaman berzaman. Namun, jika diteliti komposisi agensi-agensi kerajaan mengikut kementerian pada masa ini, masih ada lagi banyak persoalan boleh disuarakan.

Perbincangan berkisar mengenai keberkesanan agensi bila ada agensi seakan serupa wujud di kementerian lain atau lebih rumit, di dalam kementerian sama. Ini belum lagi menyentuh persoalan `penjimatan wang’ kerana memiliki dua agensi dengan peranan serupa tentunya perbuatan sia-sia.

Cuma Merrepak hari ini mengajak anda lihat daripada kaca mata seorang usahawan atau baharu hendak menjadi usahawan. Pada peringkat awal anda kena mendaftar syarikat, kemudian mendapatkan pembiayaan wang, mendaftar sebagai vendor rasmi kepada kerajaan dan banyak lagi.

Bersedialah di hadapan komputer anda. Taip satu per satu. Buat sedikit kajian. Kerana jika anda main agak-agak atau tikam nasib, nescaya anda akan sedikit pening, tidak mabuk tetapi berpinar-pinar. Sudah sedia? Mari kita mulakan:

Ketahuilah rekod agensi terbanyak ialah Jabatan Perdana Menteri yang ada 58 jabatan dan pelbagai entiti di dalamnya. Kementerian yang paling `comel’ ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang hanya ada tiga agensi iaitu Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Y
ang boleh tahan banyak ialah Kementerian Kewangan dengan 16 entiti di bawahnya, diikuti rapat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan 13 agensi di bawahnya.
 

mof


Ini berdasarkan kiraan jari pada laman web rasmi kerajaan yang belum campur pelbagai badan, institut dan persatuan yang memperoleh status naungan kementerian.

Keanehan

Terdapat juga keanehan daripada segi agensi kawal selia terpisah dengan pemain industri yang diselianya. Contoh mudah ialah Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Kewangan diberi peranan membangunkan industri francais.

T
etapi pemain industri francais di bawah Persatuan Francais Malaysia (MFA) pula bernaung di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Bila diperhatikan, MFA jarang melibatkan PNS di dalam programnya. Ini menyebabkan kepala tidak gatal mahu digaru.

S
oal bagaimana hendak cantumkan dua entiti PNS dengan MFA di bawah satu kementerian, itu terserah kepada Perdana Menteri. Ini kerana zaman pentadbiran sebelum `kejadian Februari 2020’, ada antara agensi dipindahkan ikut suka ketua setiausaha (KSU). Maklumlah menteri di dalam pentadbiran sebelum ini, kurang mahir mentadbir maka KSU yang `banyak tolong’. Itu orang ceritalah. Entah betul, entah tidak.

D
aripada sudut membantu usahawan, sewajarnyalah semua yang ada peranan diletakkan di dalam satu kementerian. Tidaklah kita perlu susah payah pindah kereta cari parking di Putrajaya atau buat kertas proposal banyak salinan. Tetapi ini kata kita. Itu harapan kita.

Nak memohon pembiayaan Bank SME, ia dibawah Kementerian Kewangan. Lebih baik di bawah MoF sebab apa-apa geran, senang dapat. Itu bagi pihak bank. SME Corp kini di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Cantiklah. Berbanding dulu di bawah MITI.

Orang akan mempersoalkan kita balik, apa yang rumitnya? Apa sahaja hasrat pelanggan iaitu usahawan hendak memohon apa-apa baik daripada Bank SME atau SME Corp, semuanya diurus sewajarnya kerana masing-masing ada SOP dan KPI yang mesti dipatuhi untuk memuaskan hati pelanggan.

Betul. Sangat betul. Tetapi bagaimana daripada sudut penggubalan dan pelaksanaan dasar? Ingat apa yang terjadi semasa pentadbiran sebelum `kejadian Februari 2020’? Ketika itu hal duit seperti dikawal sepenuhnya oleh menteri kewangan dengan perdana menteri tidak ada kuasa.

P
elaksanaan dasar terencat sebab menteri kewangan kata kerajaan tiada duit walaupun menteri sedaya-upaya menyakinkan usahawan untuk memberi bantuan.

S
ekarang, walaupun pentadbiran baharu sudah mengambil alih dan menampakkan pendekatan pro-perniagaan yang jitu serta tidak sombong, persoalan pertindihan peranan dan tugas agensi kembali timbul yang jika dibiarkan, akan kembali menyakiti golongan usahawan.

Februari 2020

Menyedari iklim dan suasana kerajaan hari ini yang belum tenteram kesan daripada `kejadian Februari 2020’ di mana perdana menteri tiba-tiba meletak jawatan, sekali gus menamatkan pentadbiran 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan.

S
emua menyedari satu pilihan raya umum perlu dibuat untuk meneguhkan kedudukan kerajaan yang dipilih rakyat, jadi untuk mencadangkan Perdana Menteri melihat isu pertindihan peranan dan kuasa agensi kerajaan pada saat dan tika ini, tidak berapa kena pada waktunya.

N
amun di kala negara berusaha memulihkan ekonomi kesan daripada pandemik COVID-19, jangan sesekali membiarkan golongan usahawan semua peringkat, terutama perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan baru hendak bermula, terkontang-kanting berdepan dengan kerenah birokrasi kerajaan.

D
i kala ahli politik asyik dalam kerja mereka mahu mengekalkan kesinambungan kerjaya politik mereka, diharap warga sektor awam supaya memberi perhatian tidak berbelah-bagi dalam memudah cara dan membantu rakyat yang mahu berniaga.

Ini kerana bila ada perniagaan bermakna aktiviti ekonomi negara juga berjalan, dan inilah yang akan mensenyawakan ekonomi negara yang telah mencatat penguncupan 17% pada suku kedua tahun ini ekoran COVID-19.
 

mof


Mungkin usai pilihan raya nanti, apa sahaja parti politik yang menang boleh datang balik kepada topik ini. Susun semula agensi kerajaan. Yang bertindih segera diasingkan, yang terasing boleh dicantumkan balik di bawah satu bumbung kementerian.

K
ata kunci di sini ialah permudahkan prosedur untuk membantu membangunkan usahawan. Itu sahaja. – DagangNews.com

 

Merrepak adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaannya seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mengambil nikotin pada kadar berganda. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com.  Sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel [email protected]