Mengenakan cukai di kawasan Bebas Cukai Pelancong adalah tidak produktif, kata Mybha | DagangNews Skip to main content

Mengenakan cukai di kawasan Bebas Cukai Pelancong adalah tidak produktif, kata Mybha

LANGKAWI 16 Nov. – Persatuan Hotel Bajet Malaysia atau Mybha (Cawangan Langkawi) menggesa Kerajaan Malaysia supaya mempertimbangkan semula cadangan untuk mengenakan cukai ke atas produk rokok dan tembakau yang dijual di semua kedai bebas cukai di pulau peranginan ini.

 

Mybha berkata pelaksanaan cukai eksais ke atas rokok dijangka akan menjejaskan pengendali hotel bajet dan juga peruncit yang beroperasi di zon bebas cukai sebagai sumber utama pendapatan mereka.

 

Malah, menjadikan rokok lebih mahal bakal mendorong sindiket jenayah untuk membawa masuk rokok seludup yang disasarkan kepada penduduk tempatan dan juga pelancong. Ini akan membawa kesan sosio-ekonomi negatif yang dikaitkan dengan perdagangan rokok seludup.

 

Pengerusi Mybha Langkawi, Datuk Noorazly Rosly berkata, kebanyakan ahli kami mempunyai kedai runcit atau kedai serbanika di dalam hotel mereka. Dengan mengenakan cukai terhadap barangan yang popular tersebut, jumlah jualan dan hasil pendapatan pasti merudum.

 

aaa
SATU daripada puluhan kedai bebas cukai yang popular di Langkawi.

 

“Pengendali hotel bajet sudah pun hampir gulung tikar kesan daripada pandemik global COVID-19. Setiap satu sumber hasil langsung dan tidak langsung amat bernilai bagi kami.

 

“Oleh itu kami berharap agar Kerajaan tidak melaksanakan cukai yang akan menambah kesulitan hidup kami, sebaliknya memperkenalkan inisiatif-inisiatif yang akan membantu ahli-ahli kami meneruskan kesinambungan hidup dan akhirnya turut sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di pulau bebas cukai ini,” tambah beliau.

 

Dato Noorazly juga berkata rokok seludup tidak pernah menjadi masalah besar di pulau bebas cukai seperti Langkawi. “Mengapa perlu sesiapa membeli produk kontraban sedangkan kos produk sah adalah sama?”

 

“Melaksanakan cukai ke atas rokok di pulau ini bermakna mewujudkan pasaran baharu dan belum diteroka bagi sindeket rokok seludup. Memandangkan lanskap operasi yang mencabar sekarang, kami tidak mahu kehilangan pelancong disebabkan persepsi dan pengalaman tidak menyeluruh nanti,” ujarnya.

 

Dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, Menteri Kewangan Datuk Sri Tengku Zafrul Aziz berkata, cukai akan dikenakan ke atas produk rokok dan tembakau di semua pulau bebas cukai dan mana-mana zon bebas yang telah diberi kebenaran penjualan runcit rokok-rokok bebas cukai. - DagangNews.com

 

aaa