Menginsafi, mengenang derita Bosnia dan Herzegovina 30 tahun dahulu | DagangNews Skip to main content

Menginsafi, mengenang derita Bosnia dan Herzegovina 30 tahun dahulu

Bandar Sarajevo yang dirakam pada 2017 oleh Natalya Letunova
Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

PADA tahun 2011, saya berpeluang menjelajah ke seluruh Bosnia dan Herzegovina. Ternyata perjalanan itu meninggalkan kesan dengan keindahan dan kecantikan, terutama Sarajevo.

 

Saya berada di sana hampir seminggu bersama kawan-kawan yang turut serta melihat kesan perang Bosnia yang tercetus pada 6 April 1992 hingga 14 Disember 1995.

 

Umat Islam telah diserang, diculik, dikepung, dibunuh dan disembelih oleh nasionalis Serb dalam pengepungan paling lama dalam sejarah peperangan moden. Dianggarkan antara 100,000 hingga 200,000 orang awam dibunuh dan 12,000 hingga 50,000 wanita dirogol dengan ribuan lagi masih hilang.

 

Ada lebih 2.2 juta orang kehilangan tempat tinggal yang menjadikannya konflik paling dahsyat di Eropah sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.


 

bosnia
Taman peringatan mangsa perang Bosnia

 


Malaysia, Brunei, Arab Saudi, Turki, Pakistan, Iran & Sudan merupakan negara Islam yang menghulurkan tangan dengan bantuan kewangan, ubat, senjata & tentera.

 

Malaysia dan Pakistan tidak mengendahkan larangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menghantar bekalan senjata, tentera dan peluru berpandu anti-kereta kebal kepada pejuang Islam Bosnia.

 

Perdana Menteri Malaysia pada zaman tersebut, Tun Mahathir Mohamad pada mulanya teragak-agak untuk memberi bantuan pada Bosnia sebab Malaysia bukanlah negara besar. 

 

Tapi atas dasar perikemanusiaan, Tun Mahathir mengambil inisiatif untuk membantu dari segi diplomasi, bantuan kewangan, kemanusiaan dan moral, penghantaran tentera Malaysia yang menganggotai pasukan pengaman PBB dan pengambilan pelarian Bosnia ke negara kita.

 

Ini termasuk Dr Harun Kapetanovic yang merupakan orang Bosnia pertama tiba dari Bosnia dalam gerakan bawah tanah di lapangan terbang Sarajevo. Dr Harun, graduan UIA adalah kawan baik di Dubai dan beliau baru kembali ke Bosnia.


 

harun
Dr Harun Kapetanovic

 


Jasa Tun Mahathir Mohamad masih disebut sampai sekarang oleh orang Bosnia.

 

Kerana Tun tidak bersikap seperti AS dan EU yang teragak-agak untuk campur tangan menamatkan teroris Serbia dan Bosnia Serb yang disokong Rusia dan penembak meriam meletupkan Sarajevo iaitu ibu negara Bosnia. Ia akhirnya menyaksikan pembunuhan beramai-ramai terburuk dalam sejarah Eropah moden.


 

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tugu memetik kata-kata Tun Mahathir Mohamad di Sarajevo : "Pembersihan etnik di Bosnia dan Herzegovina mesti dihentikan atau mereka yang mengeluarkan kata-kata sia-sia tentang demokrasi dan hak asasi manusia mesti selama-lamanya meninggalkan sebarang deposit keadilan dan kesaksamaan." 1994.

 

 

Pada tahun 1992, Sarajevo dikepung berpanjangan, lapan tahun selepas menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk. Hampir setiap penduduk Islam di timur Bosnia sama ada dibunuh atau dipindahkan dan ramai wanita ditahan di kem telah dirogol. Kampung dan masjid dibakar atau dikepung tanpa henti di kawasan terpencil yang diisytiharkan PBB sebagai kawasan selamat.

 

Di hujung negara yang lain, seorang anak kapal mendedahkan kem tahanan untuk banduan Islam dan Katolik pada Ogos 1992, yang telah beroperasi sejak Mei, di mana beribu-ribu dibunuh, diseksa dan dirogol.

 

Pada Julai 1995, tiga tahun berdarah kemudian, 8,000 lelaki dan kanak-kanak lelaki telah dibunuh dalam tempoh lima hari selepas kejatuhan kawasan selamat Srebrenica, mangsa pembunuhan beramai-ramai ini asalnya diserahkan kepada pembunuh mereka oleh AS dan EU ketika askar PBB `berjanji mulut sahaja' untuk melindungi mereka.

 

Bosnia bukan sahaja mengenai masa lalu, jadi mengapa Bosnia tidak penting?

 

Kebanyakan daripada 100,000 yang mati dan dua juta yang hilang tempat tinggal di Bosnia adalah orang Islam Slavik dan sesetengah mangsa yang terselamat berpendapat bahawa konspirasi barat adalah kerana mereka beragama Islam.

 

Sejak awal, pembinaan Bosnia-Herzegovina memang terpecah-pecah. Kelompok Orthodox Serbia mendapat sekitar setengah wilayahnya, setengah lagi dipecah untuk dua kelompok, iaitu kelompok Bosnia-Croatia yang kebanyakan beragama Katolik dan kelompok Bosnia yang beragama Islam.


 

nosnia

 


Selain itu masih ada satu daerah di utara, iaitu Brcko, yang dikelola bersama oleh Bosnia Herzegovina dan Serbia-Bosnia.

 

Rumitnya pembinaan Bosnia dapat dilihat pada parti-parti politik yang muncul dan terkuat adalah yang berorientasi primordial-nasionalis untuk kepentingan kelompoknya sendiri.

 

Para elit kelompok popular menguasai bisnes negara seperti perusahaan pengangkutan, elektrik, perbankan dan media. Mereka saling membahagi kekayaan negara dan mengumpul kekayaan disebalik korupsi dan nepotisme.

 

Sengketa di Bosnia-Herzegovina memang tidak menjurus ke peperangan atau konflik bersenjata. Kerana di sana tidak ada pasukan tentera besar dan persenjataan berat. Tetapi sengketa politik ini menyebabkan ekonomi negara itu merudum.

 

Banyak orang yang sudah melarikan diri dari kekalutan dan kemiskinan dan menjadi migran ke luar negeri. Penduduk Bosnia yang awalnya berjumlah 4.4 juta orang, sekarang menyusut menjadi 3.3 juta orang. Banyak pengamat demografi mengatakan, jumlah sebenarnya bahkan lebih sedikit lagi, mungkin hanya 2.8 juta orang.

 

Tapi tidak semua orang menjadi miskin. Sebaliknya, beberapa orang menjadi kaya raya. Tahun 2021, Bakir Izetbegovic, putera presiden pertama Bosnia Alija Izetbegovic, menikahkan anaknya Jasmina dalam suatu acara supermewah.

 

Para pemimpin nasional dan para elit mafia merasa tidak perlu lagi menyembunyikan kekayaan mereka yang berlimpah ruah, yang dijana dari Bosnia.


 

sarajevo
Pasar Sarajevo bersebelahan sebuah masjid.

 


Teringat sewaktu tiba di Sarajevo, saya tidak menempah hotel. Perjalanan dari Budapest ke Sarajevo memenatkan. Lantas, mahu mencari hotel yang berhampiran oldtown.

 

Sebuah hotel dibawah pengurusan sebuah famili.

Seorang gadis di kaunter.

Hotel itu bersih dan berpatutan. Seadanya.

 

Ada rasa ingin tahu. Saya pun bertanya gadis itu, "Are you a Muslim?"

Dia tersenyum. Seorang pelajar Universiti di Paris dan sedang bercuti musim panas di Sarajevo.

"I am half Muslim and half Christian!" Jawabnya.

Saya terkedu.

 

"Which parts of you are Muslim?" Saya berjenaka.

Dia tertawa.

"No! I am Muslim in certain times, and Christian in other times!"

Saya lagi terkasima.

 

"Are you a Muslim now?"

Dia ketawa.

"Why?" Tanyanya.

 

"Tell me when you are a Muslim and when you are a Christian.....so I can know what to ask!"

Dia terus tertawa dan kami menghabiskan malam dengan buffet di keindahan Sarajevo. - DagangNews.com

 

Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan kolumnis DagangNews.com