Meninjau Tahun 2022: Pembelajaran Dalam Talian Memacu Pemulihan Inklusif | DagangNews Skip to main content

Meninjau Tahun 2022: Pembelajaran Dalam Talian Memacu Pemulihan Inklusif

Oleh Raghav Gupta, Pengarah Urusan, Asia Pasifik, Coursera

 

 

SELEPAS 20 bulan mengharungi kegawatan ekonomi akibat wabak COVID-19, akhirnya kita mula melihat sinar harapan.

 

Di Malaysia, penurunan jangkitan COVID-19, perkembangan vaksinasi yang positif serta pengoperasian semula perniagaan pada kapasiti lebih besar merupakan trend yang memberangsangkan. Malah, kadar pekerjaan turut mencapai puncak baharu pada September lalu.

 

Sesungguhnya, kami telah melihat organisasi awam dan swasta bersatu, berinovasi dan berkembang pesat.

 

Apabila COVID-19 kian mereda, kami dapat menyaksikan tanda-tanda perubahan yang berkekalan dalam cara kita belajar, mengajar dan bekerja, yang akan membantu menyelesaikan krisis ketidaksamarataan serta cabaran kemahiran yang semakin meningkat.

 

Menghilangkan halangan dengan model kerja jarak jauh

Setakat ini, ‘lokasi’ sering mendefinisikan pilihan dan peluang dalam pasaran buruh, menarik pekerja berkemahiran tinggi ke industri serta menumpukan bakat terbaik di hab-hab yang maju.

 

Namun, ini berubah dengan pantas. Perubahan yang kami alami sepanjang tempoh pandemik telah menangkis tanggapan bahawa pekerjaan perlu dikongkong lokasi.

 

Seiring peningkatan trend kerja jarak jauh dan pergerakan bakat yang bebas, sesiapa sahaja boleh bekerja dari mana jua sahaja di seluruh dunia.

 

Pada Mei tahun ini, Microsoft melaporkan 62% pemimpin perniagaan di Malaysia mempertimbangkan untuk mereka bentuk semula ruang pejabat untuk model kerja hibrid.

 

Tanpa kekangan geografi, majikan bukan sahaja dapat meneroka kumpulan bakat yang lebih luas, malahan, ia juga memberi manfaat besar kepada mereka yang memerlukan fleksibiliti lantaran memikul tanggungjawab penjagaan, serta mereka yang berada di luar hab pekerjaan tradisional.

 

Satu tinjauan oleh Cisco mendedahkan 88% pekerja Malaysia mengharapkan lebih pilihan dari segi lokasi kerja dalam era pekerjaan baharu ini.

 

Menyambut bilik darjah masa hadapan

Apabila krisis melanda, banyak kampus di Malaysia menyesuaikan diri secara pantas dengan menyepadukan perisian kursus dalam talian daripada institusi-institusi global terkemuka ke dalam kurikulum mereka, serta memanfaatkan kursus bermutu tinggi yang sepadan dengan kurikulum mereka bagi menghadapi norma baharu.

 

Selain menjamin kesinambungan pembelajaran, ia merupakan satu langkah yang diambil kolej untuk terus menyediakan pelajar dengan pendidikan yang dinaik taraf dan terkini.

 

Penyepaduan model hibrid membolehkan universiti memperbaharui tawaran secara berterusan seiring dengan peralihan teknologi, serta membina kemahiran berpaksikan industri untuk meningkatkan kebolehpasaran pelajar.

 

Di Malaysia, Kumpulan Pendidikan Brickfields Asia College (BAC)  telah menunjukkan kejayaan dengan model sedemikian, menerusi kerjasama dengan Coursera untuk menyediakan akses kepada sumber digital dalam talian yang terbaik di dunia daripada universiti-universiti bertaraf dunia, selain meningkatkan hasil pembelajaran dan pengalaman pelajar.

 

Menurut pemerhatian para profesor, pelajar-pelajar terbabit telah melangkaui ruang lingkup kurikulum yang ditetapkan.

 

Mereka lebih bermotivasi untuk mengambil kursus dan mengembangkan minat serta kemahiran diperlukan untuk melestarikan kerjaya pada masa hadapan.
 

  

Raghav Gupta, Pengarah Urusan, Asia Pasifik, Coursera
Raghav Gupta, Pengarah Urusan, Asia Pasifik, Coursera

 


Perubahan kriteria kelayakan meningkatkan keterangkuman

Program dalam talian telah berkembang ke arah lebih inklusif untuk menyokong keperluan pelajar bukan tradisional. Misalnya, kelayakan mikro hari ini membantu pekerja yang menganggur untuk berdiri semula.

 

Di Malaysia, pendaftaran dalam pensijilan profesional yang berkaitan pekerjaan serta peringkat kemasukan di Coursera telah melonjak sebanyak 75% pada tahun lepas, disebabkan permintaan dalam kalangan pencari kerja serta nilai yang ditawarkan.

 

Dalam ekonomi mencabar, pelajar lebih memerlukan cara yang fleksibel dan mampu dimiliki untuk mendapat pendidikan yang dapat meningkatkan prospek kerjaya mereka.

 

Sehubungan itu, pensijilan profesional dalam talian dapat membantu mereka menguasai kemahiran pekerjaan yang membawa kepada peluang segera serta perkembangan sistematik sehingga ijazah penuh.

 

Sijil Profesional Sokongan IT Google, sebagai contoh, melengkapkan pelajar untuk jawatan peringkat kemasukan industri IT, selain diiktiraf oleh kolej berkedudukan teratas, termasuk University of London dan Northeastern University yang menawarkan kredit universiti untuk ijazah sarjana muda dalam talian setelah menamatkan program.

 

Lebih 700,000 pelajar yang telah mendaftar dalam program pensijilan tersebut berasal daripada latar belakang bukan tradisional - 59% tidak mempunyai ijazah kolej dan lebih separuh mengenal pasti diri mereka sebagai kulit hitam, Latino, wanita atau veteran.

 

Ke arah kesamarataan jantina dalam pendidikan dan peluang pekerjaan

Menggalakkan kepelbagaian jantina dalam pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) yang mampu menambah baik perwakilan jantina dalam pekerjaan digital terus menjadi cabaran kepada pendidik.

 

Namun demikian, penemuan baharu mendedahkan bahawa pembelajaran STEM secara dalam talian mampu membawa perubahan positif kepada dinamik jantina.


 

wateva

 


Menurut Laporan Wanita dan Kemahiran Coursera 2021, pendaftaran kursus STEM dalam kalangan pelajar wanita di Malaysia meningkat daripada 29% pada 2019 kepada 36% pada 2021.

 

Disebabkan kursus STEM merangkumi banyak kemahiran digital asas, wanita Malaysia bukan satu-satunya kumpulan yang berusaha meningkatkan kebolehgajian mereka untuk pekerjaan masa hadapan dengan membangunkan kemahiran kritikal ini secara dalam talian.

 

Hakikatnya, trend ini turut berlaku di seluruh dunia apabila lebih ramai wanita menjalani latihan semula (reskill) demi peluang pekerjaan yang lebih baik dalam ekonomi pengetahuan yang dipacu teknologi.

 

Tanpa halangan lokasi dan masa, pembelajaran dalam talian menyediakan fleksibiliti yang sangat penting kepada wanita untuk mengimbangi kerjaya dengan komitmen peribadi.

 

Kandungan modular juga mempermudahkan pengalaman pelajar sedemikian untuk belajar mengikut kemajuan masing-masing.

 

Ketika dunia pekerjaan dan pendidikan berada dalam tempoh kritikal, kami berpeluang membuat perubahan bermakna bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati manfaat daripada janji ekonomi digital pada masa hadapan.

 

Dalam berdepan krisis besar, institusi, kerajaan dan organisasi wajar berpadu tenaga dan memanfaatkan cara baharu untuk membawa kesamarataan dan meningkatkan akses kepada kemahiran demi memacu pemulihan inklusif.

 

Dalam pada itu, penyediaan fleksibiliti kepada pekerjaan jarak jauh yang mahir dan bergaji tinggi merupakan kunci yang penting. - DagangNews.com