Menjulang ilmu dan nilai: Akademia dan masa depan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Menjulang ilmu dan nilai: Akademia dan masa depan Malaysia

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tiga dari kiri) merasmikan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 pada 4 Oktober 2023.
Oleh AKMAL ADANAN

Akademia, yang merangkumi ahli akademik, penyelidik, dan pendidik dalam institusi-institusi pengajian tinggi, memainkan peranan yang penting dalam pembentukan pendidikan negara. 

 

Kejayaan Malaysia dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti bergantung kepada komitmen, dedikasi, dan sumbangan golongan akademik. 

 

Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia 2023 yang disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 4 Oktober 2023 memberi penekanan membangkitkan semangat ahli akademik ke arah membangunkan masyarakat dan negara selari dengan teras Negara Madani.

 

Bertemakan 'Akademia Pemacu Malaysia Madani', sambutan ini menjadi hari istimewa bagi untuk ahli akademik, khususnya di institusi pendidikan tinggi bagi menghargai jasa serta sumbangan dan kewibawaan akademia.

 

Khaled di dalam ucapannya menegaskan bahawa kejayaan Kementerian Pendidikan Tinggi, dan seluruh usaha membentuk masyarakat sangat bergantung kepada komitmen, dedikasi serta sumbangan golongan akademik. 

 

 

parafrasa

 

 

Beliau juga menggambarkan kerjaya akademik sebagai satu profesion yang kritikal kerana ia menentukan bagaimana profesion-profesion lain mampu berkembang. 

 

Profesion akademik ini akan sentiasa menjadi tulang belakang sistem pendidikan tinggi negara dan berperanan dalam menggerakkan kemajuan sosial dan ekonomi. 

 

Tanpa akademia yang kuat, negara akan kehilangan daya peningkatan yang diperlukan untuk bergerak maju dalam era globalisasi.

 

Tiga Misi Bersama

Tiga misi bersama antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan golongan akademik telah digariskan antaranya:

 

1. Menyediakan Negara dengan Bakat Terbaik

Generasi muda harus dilengkapi dengan kebijaksanaan, kedewasaan, dan kematangan yang diperoleh melalui pendidikan. 

 

Keberhasilan negara dalam membangunkan generasi muda yang berbakat dan berpengetahuan bergantung kepada pembangunan ekosistem pendidikan tinggi yang terbaik. 

 

Ini akan membentuk masa depan negara yang lebih cemerlang dan kompetitif di peringkat antarabangsa.

 

2. Mengoptimumkan Pengetahuan dan Pengalaman

Akademia harus bertanggungjawab dalam menyusun ilmu, pengalaman, dan kepakaran mereka untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan negara. 

 

Usaha untuk merakyatkan ilmu pengetahuan harus melibatkan strategi yang memudahkan akses kepada masyarakat. 

 

Selain itu, akademia juga perlu memastikan ilmu tersebut dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian mencakupi penggunaan teknologi moden dan pendekatan-pendekatan baharu yang efektif.

 

3. Membangunkan Masyarakat yang Berilmu dan Beradab

Pembentukan masyarakat yang berilmu, beretika, dan beradab adalah misi penting bagi membina negara Malaysia yang progresif. 

 

Akademia perlu menggalas tanggungjawab ini untuk memastikan masyarakat memahami dan mengamalkan nilai-nilai yang baik dengan kekuatan intelektual. 

 

Masyarakat perlu mempunyai keupayaan untuk mengamalkan nilai-nilai yang mempromosikan kebaikan dan keharmonian lebih-lebih lagi dalam negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.

 

 

parafrasa

 

parafrasa

 

 

Masa Depan Akademia dalam Pendidikan Malaysia

Masa depan akademia dalam pendidikan Malaysia adalah amat penting terutamanya dalam mendepani cabaran-cabaran baharu dalam tahun-tahun yang akan datang.

 

Dalam era teknologi yang berkembang pesat, akademia mesti berubah dan beradaptasi dengan teknologi dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. 

 

Pembelajaran dalam talian dan penggunaan teknologi dalam pengajaran adalah aspek penting yang akan terus berkembang. 

 

Minat generasi muda terhadap ilmu dan pendidikan tinggi adalah penting untuk memastikan pemantapan masa depan pendidikan. 

 

Sesi pembelajaran perlu menjadi lebih relevan berbanding masa lalu. 

 

Justeru, para akademia mesti mengambil kesempatan untuk menggunakan teknologi terkini dalam menarik minat golongan ini agar sesi pengajaran menjadi lebih menarik, efektif dan efisen.

 

Selain itu, akademia mestilah dilihat sebagai seorang yang mampu menjadi contoh yang baik kepada pelajar-pelajarnya. 

 

Pendekatan baharu dalam proses menyampaikan ilmu bukan sahaja memupuk minat golongan muda untuk belajar, malah dapat merangsang penyelidikan, menghasilkan inovasi dan mencetuskan inspirasi.

 

 

parafrasa

 

 

Pendidikan memerlukan kerjasama semua

Rakyat Malaysa juga perlu menjadi warga negara yang menghargai nilai-nilai ilmu, bijak dan beradab. 

 

Pendidikan tidak hanya melihat tentang pengetahuan, tetapi ia merangkumi pembentukan watak dan moral yang baik dalam kalangan masyarakat untuk memastikan masa depan negara yang gemilang.

 

Kerjasama, perkongsian ilmu dan pembentukan jaringan kepakaran yang ada perlu terus ditingkatkan bagi memastikan Malaysia terus berada di barisan hadapan dalam bidang ilmu pengetahuan dan teknologi.

 

Kesimpulannya, akademia merupakan seorang guru bangsa yang memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan dan kemajuan Malaysia. 

 

Guru bangsa adalah pemimpin masyarakat dengan ilmu dan hikmah kebijaksanaan. 

 

Guru bangsa juga adalah suri teladan yang mencontohkan segala keunggulan nilai dan perwatakan bangsa yang bertamadun.

 

 

parafrasa

 

 

Maka, masa depan pendidikan Malaysia amat bergantung pada kesinambungan komitmen dan usaha bersama antara KPT dan para akademia. 

 

Dengan kerjasama yang kukuh, pendidikan di Malaysia diharap akan terus maju dan relevan dalam era yang penuh dengan cabaran. - DagangNews.com

 

Akmal Adanan merupakan Ketua Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Melaka