DALAM sebuah masyarakat yang berpacukan teknologi, celik digital adalah penting bagi pelajar Malaysia untuk berjaya.
Kunci untuk membuka potensi sepenuhnya terletak pada usaha memupuk pelajar dan pendidik yang celik digital. Data terkini daripada Dasar Pembelajaran Digital Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di samping artikel yang membimbangkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris menegaskan hakikat betapa perlunya literasi digital guru dipertingkatkan.
Walau bagaimanapun, menerapkan pendekatan serampang dua mata adalah penting untuk melengkapkan pelajar dan pendidik secara berkesan dengan kemahiran digital yang diperlukan.
KPM telah memainkan peranan yang penting dalam memupuk literasi digital dengan menyediakan kursus dan sumber secara percuma kepada pendidik serta melengkapkan sekolah dengan infrastruktur teknologi pendidikan.
Walaupun rancangan kerajaan untuk menaik taraf infrastruktur di bawah Bajet 2024 adalah menggalakkan, mempunyai strategi pelaksanaan yang dibangunkan secara berkesan adalah penting.
Strategi ini akan memastikan sekolah, terutamanya yang terletak di kawasan luar bandar, dapat mengakses perkakasan dan perisian penting yang diperlukan untuk menyokong literasi digital.
Peranan penting peralatan edutech dalam meningkatkan literasi digital
Dengan infrastruktur yang tepat, pendidik memperoleh alat dan sumber yang diperlukan untuk menyepadukan teknologi secara berkesan dalam amalan pengajaran.
Literasi digital merangkumi pelbagai kemahiran, termasuk keupayaan untuk menavigasi platform digital, menilai maklumat dalam talian secara kritis, dan mencipta kandungan digital.
Peralatan teknologi seperti komputer, tablet, papan putih interaktif (interactive whiteboards), dan perisian pendidikan memudahkan pembangunan pelbagai kemahiran ini untuk pendidik dan pelajar.
Selain itu, akses kepada alat teknologi moden memperkasakan pendidik untuk menyusun pelajaran yang menarik dan interaktif, yang disesuaikan dengan aneka gaya pembelajaran.
Dengan menggabungkan elemen multimedia, aktiviti interaktif, dan sumber dalam talian dalam pengajaran mereka, pendidik mencipta pengalaman pembelajaran dinamik yang menggalakkan penglibatan pelajar yang aktif dan memupuk kefasihan digital (digital fluency).
Pada asasnya, peralatan edutech berfungsi sebagai pemangkin untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan warga pendidik dan pelajar. Peralatan edutech memberi mereka cara untuk meneroka, bereksperimen dan berinovasi dengan teknologi di dalam bilik darjah.
Meletakkan asas untuk infrastruktur edutech yang berkesan di sekolah
Bekerjasama dengan penyedia teknologi yang tepat merupakan langkah yang membolehkan sekolah mereka bentuk dan melaksanakan infrastruktur edutech tersuai, sejajar dengan matlamat dan pendekatan pendidikan mereka.
Melalui kerjasama rapat dengan penyedia teknologi, sekolah dapat memastikan bahawa infrastruktur adalah berskala, fleksibel dan mampan dalam menyesuaikan diri dengan keperluan yang berubah-ubah dan kemajuan teknologi.
Di Lenovo, kami yakin bahawa teknologi dan pendidikan bergerak sederap dalam mentransformasikan pengalaman pembelajaran.
Baru-baru ini kami bekerjasama dengan SMK Jalan Bukit untuk menyediakan komputer riba yang menampilkan EdBot.ai, iaitu sebuah platform berasaskan permainan interaktif.
Inisiatif ini bertujuan menggalakkan pemahaman bahasa Inggeris dan pendidikan STEM di sekolah melalui edutainment, sekali gus menawarkan pengalaman pembelajaran yang imersif kepada pelajar.
Selain menyediakan komputer riba, sokongan Premium Care kami memastikan SMK Jalan Bukit mempunyai akses kepada bantuan teknikal pakar, sekali gus memanjangkan jangka hayat komputer riba dan memaksimumkan faedahnya untuk pelajar.
Tambahan pula, sekolah dapat meraih manfaat daripada sokongan berterusan dan peluang pembangunan profesional yang disediakan oleh penyedia teknologi.
Sokongan ini termasuklah sesi latihan untuk pendidik tentang cara menyepadukan teknologi secara berkesan dalam amalan pengajaran, bantuan penyelesaian masalah untuk menangani apa-apa isu teknikal yang timbul, dan sumber untuk mengoptimumkan penggunaan alat edutech.
Program Komuniti EdVision Lenovo mencerminkan senario ini. Dilancarkan dengan kerjasama Microsoft, program ini menawarkan pelbagai sumber, termasuk latihan guru, pensijilan dan pembinaan komuniti.
Pendidik Malaysia boleh mendaftar di laman web EdVision Community untuk menyertai komuniti dan mengakses kandungan pendidikan lebih pintar secara percuma.
Sebagai penyokong pembelajaran digital, Lenovo kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam menyampaikan penyelesaian yang menyeluruh dengan ekosistem perkhidmatan perkakasan dan perisian yang mantap.
Kami menggalakkan sekolah untuk mewujudkan asas yang kukuh bagi infrastruktur edutech yang cekap yang mempertingkatkan pengetahuan celik digital warga pendidik dan pelajar. - DagangNews.com