Mercury Securities nilai harga sasaran L&P Global pada 45 sen | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities nilai harga sasaran L&P Global pada 45 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Dis - Mercury Securities memberi harga sasaran pada 45 sen terhadap penyedia penyelesaian pembungkusan industri, L&P Global Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 3.8 sen dan harga perusahaan 12 kali sejajar dengan purata pemain industri lain. 

 

Menurut firma itu, harga sasaran itu mewakili pulangan sebanyak 50% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO). 

 

"Kami menyukai saham ini kerana ia menawarkan prospek pertumbuhan yang menarik dan berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan industri perkhidmatan pembungkusan industri kayu yang didorong oleh keutamaan untuk kayu berbanding plastik.

 

"Kumpulan mempunyai 5.05% bahagian pasaran mengikut perniagaan nilai di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

L&P Syarikat menawarkan penyelesaian pembungkusan industri bersepadu kepada pelanggannya daripada sumber bahan, mereka bentuk, pembuatan, pemasangan, dan pembekalan produk pembungkusan industri, pembungkusan barang ke dalam kotak dan peti, kepada penggunaan semula, kitar semula serta pembaikan palet.

 

Syarikat itu berhasrat untuk memperluaskan penawaran perkhidmatan pembekalan pekelilingnya dengan memperluaskan perkhidmatan logistik kepada pelanggan sedia ada dan juga menerokai koleksi produk pembungkusan industri terpakai yang akan dihantar semula ke kilang Sungai Bakap untuk digunakan semula dan dikitar semula. 

 

Dalam pelancaran prospektus syarikat sempena penyenaraiannya, kumpulan itu dijangka meraih dana sebanyak RM33.9 juta menerusi IPO degan RM10 juta akan digunakan untuk membangunkan kilang baharu di Johor dan RM2 juta untuk pengembangan perniagaan.

 

Sejumlah RM13 juta akan digunakan untuk modal kerja bagi membeli bahan mentah bagi menyokong operasinya manakala RM5 juta bagi melunaskan hutang pinjaman dan RM3.9 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu memiliki pasukan pengurusan yang berpengalaman dengan pengurusan kanan memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam industri.

 

Katanya, syarikat itu mampu mencapai hasil pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) dua tahun sebanyak 35.05% dari FY19 hingga FY21.

 

"Bagaimanapun mereka berdepan dengan beberapa risiko termasuk kekurangan tenaga pekerja dan risiko penumpuan pelanggan kerana First Solar menyumbang kira-kira 59.4% kepada jumlah hasil pada FY21," katanya. - DagangNews.com