Meta Bright terima surat tawaran bersyarat bagi cadangan projek solar 4 masjid di Pahang | DagangNews Skip to main content

Meta Bright terima surat tawaran bersyarat bagi cadangan projek solar 4 masjid di Pahang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Meta Bright Group Berhad menerusi kerjasama dengan Koperasi Kakitangan Istana Pahang Berhad (KKIPB) menerima surat tawaran bersyarat (CLO) bagi cadangan projek solar bagi empat masjid di negeri Pahang.

 

Kumpulan itu menerusi FBO Land (Setapak) Sdn Bhd akan mereka bentuk, membiayai, memasangan, melengkaokan pembinaan pentauliahan, operasi dan penyelenggaraan loji penjanaan solar fotovoltan di Masjid Al Makmur Batu 10 Gambang, Masjid Jamek Kem Batu 8 Jalan Gambang, Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan Bukit Rangin dan Masjid Fatimah Az Zahra Indera Sempurna di Kuantan.

 

Visi untuk membawa tenaga boleh diperbaharui (RE) ke tapak-tapak keagamaan negeri ini tidak mendapat bantahan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), dengan MUIP mengeluarkan surat tiada bantahan sekali gus membolehkan FBO mengakses tapak berpotensi di seluruh Pahang mengikut keperluan.

 

Program Solar adalah selama 21 tahun, dengan pelanggan membeli semua RE yang dijana oleh loji di tapak, sekali gus menjana pendapatan berulang kepada FBO.

 

Ia juga diberikan diskaun 15% kepada kadar tarif lazim Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dilengkapi dengan laluan kos ketidakseimbangan (ICPT) untuk pelanggan.

 

Kapasiti dianggarkan berada pada julat 46.5 kWp hingga 81.84 kWp, tertakluk kepada dimuktamadkan berdasarkan kajian teknikal dan penentukuran akhir oleh TNB, SEDA atau Suruhanjaya Tenaga (ST).

 

Pengarah Eksekutif Meta Bright, Derek Phang berkata, pihaknya berbesar hati mengumumkan perolehan empat kontrak itu dan mereka teruja untuk memulakan langkah pertama bagi mengekalkan pembangunan lestari bersama KKIPB.

 

“Dengan kemajuan ketara bagi merealisasikan visi kolektif untuk membawa penyelesaian mampan kepada institusi bukan untung Pahang, kami percaya kerjasama dengan KKIPB ini juga merupakan model yang boleh diulangi dengan negeri dan pertubuhan agama lain," katanya. - DagangNews.com