KUALA LUMPUR 18 Mac - Edelteq Holdings Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia berdepan masalah selepas ketua pegawai eksekutif (CEO) serta pemegang saham terbesarnya, Chin Yong Keong disaman oleh bekas majikannya Mi Technovation Berhad kerana didakwa melanggar kontrak pekerjaan dan penyalahgunaan proses undang-undang.
Mi Technovation juga mendakwa bahawa Yong Keong telah memberikan kenyataan palsu atau mengelirukan tentang profilnya dalam prospektus yang diterbitkan oleh Edelteq, berkaitan dengan sejarah pekerjaannya dalam prospektus yang pertama.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Mi Technovation mengumumkan bahawa mereka telah memfailkan writ saman terhadap Yong Keong di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Mei lalu.
Menurut kumpulan itu dalam ringkasan tuntutan yang diberikan oleh peguamcaranya CK Lim Law Chambers, Yong Keong telah bekerja sebagai ketua pegawai operasi Mi Technovation merangkap pengurus besar sejak 2 Julai 2018.
“Pada 14 Mac 2019, CYK (Yong Keong) menulis surat kepada syarikat itu mendakwa syarikat itu telah melanggar kontrak pekerjaan dan menuntut pengembalian tanggungjawab, kuasa dan skop kerjanya yang didakwa telah diambil oleh syarikat itu.
“Berikutan itu, jawatankuasa bebas telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan CYK. Jawatankuasa bebas mendapati tiada bukti menyokong dakwaan CYK,” kata kumpulan itu dalam ringkasan, yang difailkan di Bursa Malaysia.
Yong Keong tidak bersetuju dengan keputusan jawatankuasa bebas dan menganggap dirinya ditolak secara konstruktif, kata kumpulan itu.
Mi Technovation mendakwa bahawa Yong Keong telah melanggar kontrak pekerjaannya apabila dia enggan melaporkan diri untuk bekerja pada 26 Mac 2019.
Pada 3 Mei 2019, Chin kemudiannya memfailkan representasi untuk pengembalian semula di bawah Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
“Walaupun telah meminta pengembalian semula kepada bekas jawatannya dalam syarikat di bawah pertikaian industri, CYK menyertai Edelteq pada April 2019. Pertikaian industri diteruskan ke mesyuarat perdamaian pada Mei dan Jun 2019,” kata Mi Technovation.
Bagaimanapun, menurut Mi Technovation, Yong Keong menarik balik representasinya pada 19 Julai 2019, tetapi tanpa mendedahkannya kepada syarikat.
Mi Technovation berkata, bahawa ia kemudiannya mendapati satu kenyataan diterbitkan dalam prospektus Edelteq bertarikh 9 Mei 2023, menyatakan bahawa Yong Keong telah meninggalkan syarikat itu pada Mac 2019.
Mi Technovation mengambil pendirian bahawa kenyataan tersebut adalah palsu atau mengelirukan dan fakta material tidak didedahkan termasuk penolakannya terhadap kontrak pekerjaan dalam syarikat itu.
“Kenyataan tersebut dikira untuk mengelirukan pembaca kerana ia memberi gambaran bahawa terdapat penamatan kontrak kerja bersama.
“Oleh itu, writ itu adalah untuk memaksa CYK menerbitkan atau menyebabkan diterbitkan kenyataan yang memaklumkan Bursa Malaysia, sebagai sebahagian daripada kewajipan pendedahannya, semua peristiwa penting berlaku sejak suratnya kepada plaintif bertarikh 14 Mac 2019 yang membawa kepada pekerjaannya dengan Edelteq, seperti yang dirayu dalam penyata tuntutan bertarikh 14 Mei 2023,” kata Mi Technovation dalam ringkasan itu.
Menurut Mi Technovation, writ itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 29 Mei 2023. Pada tarikh ringkasan penulisan, peguam cara syarikat sedang mengambil langkah untuk melaksanakan penyampaian writ itu kepada Yong Keong. - DagangNews.com