MIDF jalin kerjasama dengan 3 universiti wujudkan Anugerah Kecemerlangan Matematik dan Ekonomi | DagangNews Skip to main content

MIDF jalin kerjasama dengan 3 universiti wujudkan Anugerah Kecemerlangan Matematik dan Ekonomi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mac - Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi bekerjasama untuk Anugerah Kecemerlangan Matematik dan Ekonomi MIDF.

 

Majlis jalinan kerjasama itu diadakan bersempena dengan pelancaran buku sejarah MIDF dab e-buku bertajuk Malaysian Industrial Development Finance yang dihasilkan bagi memperingati sambutan ulang tahun ke-62 kumpulan itu.

 

Sebagai permulaan, MIDF akan memberikan anugerah berkenaan kepada pelajar-pelajar daripada Fakulti Sains UM dan Fakulti Sains dan Teknologi UKM serta Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS dan pada masa sama menyasarkan mengembangkannya kepada pelajar universiti lain pada masa akan datang. 

 

Anugerah itu akan diberikan kepada dua pelajar setiap universiti dengan mereka akan diberikan latihan industri minimun selama 10 minggu mengikut kalendar akademik universiti dan RM300 dalam bentuk baucar buku. 

 

Setiap pelajar akan menerima elaun sebanyak RM8,000 sepanjang tempoh 10 minggu mengikuti latihan industri itu dan secara tidak langsung menjadikan anugerah itu sebagai antara anugerah akademik berprestij di Malaysia.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Charon Mokhzani berkata, pihaknya percaya bahawa matematik menggalakkan pemikirian kritis selain dapat membantu seseorang mencari penyelesaian terbaik dalam setiap permasalahan dan pengajian ekonomi membantu mereka untuk memahami cara masyarakat bekerja dan sumber di sekeliling mereka.

 

midf

 

"Kami berharap anugerah itu akan menjadi galakan kepada pelajar untuk terus cemerlang dan dengan memberikan peluang mereka menjalani latihan industri di MIDF, kami mahu melihat pelajar-pelajar cemerlang ini melihat tawaran menarik yang terdapat di dalam dunia kewangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

midf

 

Sementara itu, Timblan Dekan (Penyelidikan) Fakulti Sains UM, Prof. Dr. Azhar Ariffin berkata, pihaknya menjangkakan kerjasama itu akan menyumbang secara signifikan kepada pelajar Institut Sains Matematik, Fakulti Sains, Universiti Malaya untuk mengamalkan ilmu yang diperolehi untuk kepentingan bersama.

 

"Saya juga yakin bahawa peluang ini merupakan platform terbaik kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran, kebolehan dan bakat mereka selain memberikan gambaran sebenar terhadap dunia pekerjaan sebenar selepas tamat pengajian," katanya. - DagangNews.com