MIDF kekalkan ramalan pertumbuhan KDNK -4.8% pada 2020 | DagangNews Skip to main content

MIDF kekalkan ramalan pertumbuhan KDNK -4.8% pada 2020

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - MIDF Research mengambil keputusan untuk mengekalkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak -4.8% bagi tahun 2020.

MIDF Research berkata, ramalan itu disertakan dengan risiko penurunan yang semakin meningkat akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disasarkan.

"Kami mengekalkan ramalan pertumbuhan KDNK kami pada -4.8% untuk tahun 2020 berbanding 4.3% pada 2019 dengan risiko penurunan yang semakin meningkat terutamanya terhadap prospek penggunaan domestik  susulan pelaksanaan PKPB bersasar yang dijalankan di sesetengah negeri dan kawasan.

"PKPB secara bersasar itu memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi," jelas MIDF Research dalam laporan tinjauan ekonomi bulanan, Oktober 2020.

Dalam nota kajian yang sama, MIDF Research memberitahu, keputusan kerajaan yang membenarkan aktiviti ekonomi untuk beroperasi sepanjang tempoh berkenaan dijangka memberi kesan yang lebih kecil berbanding PKP yang dijalankan awal tahun ini.

Ujar nota kajian itu lagi, PKPB secara bersasar yang dijalankan itu berkemungkinan akan menjadi pendekatan yang lebih baik sekiranya kesan keluk COVID-19 dapat diratakan.

"Pendekatan seperti ini akan mengurangkan kesan pada aktiviti perniagaan daripada berlakunya penurunan permintaan dan gangguan rantaian bekalan.

"Bagaimanapun, sekiranya kes COVID-19 semakin meningkat hingga mengakibatkan lanjutan PKPB dan akan diperketatkan lagi, ia akan memberi kesan negatif yang lebih besar terhadap pertumbuhan ekonomi khususnya untuk tempoh suku semasa," tambah MIDF Research.

MIDF turut mengulas berkaitan jangkaannya yang lebih baik terhadap prestasi ekonomi  untuk suku ketiga tahun kewangan 2020.

Baca: 2 faktor pacu pertumbuhan ekonomi lebih baik pada 3Q20

Jangkaan lebih positif itu lebih dikhususkan melalui dua faktor utama iaitu pelonggaran dasar monetari dan suntikan pakej rangsangan fiskal yang disediakan oleh kerajaan. - DagangNews.com