MIDF percaya penerbitan Sukuk Wakalah tidak akan beri kesan kepada modal saham berbayar KPJ | DagangNews Skip to main content

MIDF percaya penerbitan Sukuk Wakalah tidak akan beri kesan kepada modal saham berbayar KPJ

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jan - MIDF Research percaya bahawa penerbitan Sukuk Wakalah berjumlah RM3 bilion tidak akan memberi kesan kepada penerbitan dan modal saham berbayar serta pegangan saham bagi sebahagian besar pemilik saham KPJ Healthcare (KPJ) 

 

Penerbitan Sukuk Wakalah berjumlah RM3 bilion itu juga tidak akan memberi kesan kepada pendapatan elaun pelaburan semula (EPS) dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan semasa KPJ.

 

"Atas dasar itu kami menjangkakan tiada sebarang perubahan pendapatan untuk tahun kewangan 2021-2022 (FY21-22)," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Baru-baru ini, KPJ menerusi anak syarikatnya Point Zone (M) Sdn. Bhd. berjaya menerbitkan Program Sukuk Wakalah selaras dengan peraturan Suruhanjaya Sekuriti (SC) terhadap Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Penetapan LOLA.

 

Menerusi program itu, KPJ mencadangkan selain memberi jaminan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islamik berjumlah RM3 bilion berdasarkan prinsipa syariah Wakalah Wakalah Bi Al-Istithmar.

 

Sukuk berkenaan akan digunakan untuk tujuan korporat termasuk pembiayaan seperti pengembangan perniagaan, keperluan modal kerja, tujuan komersial untuk perniagaan berkaitan penjagaan kesihatan.

 

Ia juga merangkumi pinjaman dan pembiayaan semula untuk pinjaman sedia ada serta pinjaman akan datang, bon dan penerbitan Sukuk bergantung kepada kelayakan projek yang menepati Rangka Kerja Sukuk Lestari.  

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas saham KPJ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.06 sesaham dengan pandangan masa hadapan bergantung kepada prestasi saham lebih tinggi.

 

Firma itu berkata, sektor penjagaan kesihatan dijangka bertambah baik pada tahun ini dengan program imunisasi COVID-19 selain pembukaan sempadan negeri-negeri dan peningkatan penggunaan platform digital untuk penjagaan kesihatan. - DagangNews.com