MIDF Research jangka keadaan ekonomi semasa terus beri cabaran kepada Dialog Group | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka keadaan ekonomi semasa terus beri cabaran kepada Dialog Group

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - MIDF Research menjangkakan keadaan ekonomi semasa akan terus menjadi cabaran untuk Dialog Group Berhad. 

 

Firma itu berkata, sebagai syarikat minyak dan gas bersepadu, kumpulan itu diyakini akan terus memberi tumpuan kepada strategi jangka panjang dan model perniagaan mampan bagai berdepan ketidaktentuan ekonomi global, harga minyak mentah dan pergerakan mata wang.

 

Katanya, antara cabaran yang akan dihadapi termasuk konflik berterusan Rusia-Ukraine, kos inflasi, kekurangan tenaga pekerja yang boleh menyebabkan gangguan rantaian bekalan yang teruk, harga bahan yang lebih tinggi dan peningkatan kos tenaga kerja.

 

"Bagaimanapun, Dialog akan terus memberi keutamaan untuk menyiapkan projek mereka.

 

"Mengenai pertambahan kos dan kerugian, kumpulan itu telah mengadakan perbincangan berterusan untuk membayar balik dan membayar pampasan kepada pelanggannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi 1QFY23 menyusut kepada RM125.79 juta berbanding RM128.82 juta manakala hasil mereka meningkat kepada RM711.70 juta daripada RM505.45 juta. 

 

Pendapatan sesaham menurun kepada 2.23 sen berbanding 2.28 sen sebelum ini.

 

Pada suku itu, Dialog mencatatkan peningkatan aktiviti disumbangkan oleh kedua-dua operasi Malaysia dan antarabangsa.

 

Selepas mengambil kira keputusan Dialog bagi 1QFY23 dan turun naik semasa dalam pasaran minyak, firma itu menyemak turun unjuran pendapatan FY23 dan FY24 sebanyak 2% dan 2.5%.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.70 sesaham.

 

"Walaupun permulaan pendapatan kumpulan yang lebih rendah untuk 1QFY23, kami percaya perniagaannya akan terus berdaya tahan di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang mencabar.

 

"Memandangkan trend harga minyak yang stabil dijangka untuk CY23, kami berpendapat bahawa prestasi kewangan kumpulan berada di landasan yang betul," katanya. - DagangNews.com