MIDF Research jangka syarikat perladangan terus catat peningkatan hasil didorong kenaikan purata harga minyak sawit mentah | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka syarikat perladangan terus catat peningkatan hasil didorong kenaikan purata harga minyak sawit mentah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - MIDF Research menjangkakan syarikat perladangan mencatatkan peningkatan hasil berterusan didorong kenaikan harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang dipengaruhi musim tanaman yang rendah dan fenomena El-Nino.

 

Katanya, pada suku pertama tahun ini, pengeluaran MSM mencatatkan peningkatan sebanyak 3.3% didorong pemulihan berterusan dari segi pengeluaran SD Guthrie dan Kuala Lumpur Kepong (KLK) selain peningkatan aktiviti ladang di dalam sektor itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemulihan itu adalah selaras dengan trajektori pengeluaran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan pegusaha di Malaysia meriah faedah daripada cuaca kering.

 

"Keadaan itu memudahkan proses pemindahan buah tandan segar (BTS) dan ia secara tidak langsung meningkatkan produktiviti dalam kalangan tenaga kerja asing baharu didorong usaha pemulihan intensif yang dijalankan tahun lalu.

 

"Harga MSM kebanyakannya dipengaruhi oleh musim tanaman yang rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MIDF Research berkata, kebanyakan pemain bersepadu segmen hiliran masih terjejas dengan permintaan lemah bagi produk penapisan dan oleo.

 

Katanya, permintaan untuk olein sawit dan stearin adalah lebih lemah kepada penapis China yang memilih MSM dan bukannya produk itu.

 

Peralihan ini disebabkan terutamanya oleh sebaran kecil antara harga olein sawit dan stearin berbanding MSM, antara AS$120-AS$140 bagi setiap tan.

 

"Walaupun prospek itu dilihat positif namun kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan purata harga sasaran MSM sebanyak RM3,600 bagi setiap tan," katanya. - DagangNews.com