MIDF Research kekal berhati-hati terhadap prospek sektor sarung tangan kesan saingan sengit, lebihan bekalan | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal berhati-hati terhadap prospek sektor sarung tangan kesan saingan sengit, lebihan bekalan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - MIDF Research kekal berhati-hati terhadap propek bagi sektor sarung tangan kesan daripada persaingan sengit serta normalisasi permintaan yang menjurus ke arah lebihan bekalan walaupun berlaku penyatuan industri.

 

Firma itu percaya, keadaan itu menyaksikan dinamik permintaan-bekalan hanya akan kembali normal dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun.

 

Katanya, ketika industri itu mula menaikkan purata harga jualan (ASP), pihaknya kekal berhati-hati kerana pelanggan mudah untuk bertukar kepada pengeluar lain yang menawarkan harga yang lebih kompetitif menyebabkan jumlah jualan menurun.

 

"Oleh itu, kami tidak menjangkakan kenaikan harga yang ketara pada masa akan datang dan mengunjurkan pembuat sarung tangan menanggung sebahagian kos, yang membawa kepada pemampatan margin keuntungan.

 

"Selain itu, pembuat sarung tangan Malaysia dijangka terus mengalami kerugian pada tahun ini disebabkan oleh lebihan bekalan yang berterusan dan kos pengeluaran yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun kenaikan ASP baru-baru ini telah mengecilkan jurang antara pembuat sarung tangan China dan Malaysia, namun pembuat sarung tangan China akan terus menawarkan harga yang berdaya saing kerana tumpuan mereka untuk mendapatkan bahagian pasaran dan daya saing kos.

 

Katanya, ia mungkin menimbulkan tekanan ke atas pembuat sarung tangan tempatan untuk tidak menaikkan harga mereka secara agresif.

 

"Secara keseluruhannya, kami bimbang pembuat sarung tangan tempatan mempunyai ruang terhad untuk menaikkan ASP kerana kenaikan harga yang agresif boleh menyebabkan pelanggan memilih alternatif yang lebih murah, menjejaskan jualan," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu kekal negatif terhadap sektor itu. - DagangNews.com