MIDF Research kekal unjuran eksport Malaysia berkembang 5.2% pada 2024 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran eksport Malaysia berkembang 5.2% pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mac - MIDF Research mengekalkan unjuran bahawa eksport Malaysia berkembang pada kadar 5.2% pada tahun ini.

 

Katanya, walaupun eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) kekal lemah, jangkaan pemulihan merupakan antara faktor yang akan menyokong pemulihan perdagangan luar pada tahun ini.

 

"Walaupun eksport Februari 2024 lebih lemah daripada jangkaan, namun ia berjaya berkembang sebanyak 3.9% dari tahun ke tahun pada Januari hingga Februari 2024 meningkat semula berbanding -6.9% pada suku keempat 2023.

 

"Sebagai antara pemain dalam rantaian pengeluaran global, trend dalam eksport Malaysia juga mengekori rapat pergerakan prestasi perdagangan luar negara serantau dan, kami melihat pemulihan yang menggalakkan dalam eksport untuk Korea Selatan dan Taiwan dalam beberapa bulan kebelakangan ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Prestasi perdagangan Malaysia Februari 2024 naik 3.3% seiring peningkatan import

 

Terdahulu, prestasi eksport Malaysia menurun pada Februari 2024 sejajar dengan penguncupan dalam eksport semula. 

 

Eksport semula berjumlah RM19.8 bilion, merosot 20.2% manakala eksport domestik bernilai RM91.5 bilion, menyumbang 82.2%  kepada jumlah eksport meningkat 4.7% berbanding Februari 2023.

 

Melihat dari sudut kumpulan barangan, 113 daripada 257 kumpulan eksport menunjukkan penurunan, namun 172 daripada 259 kumpulan import meningkat berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan global, risiko penurunan masih boleh menjejaskan prospek perdagangan secara negatif.

 

Katanya, ia termasuk risiko seperti ketegangan geopolitik dan perdagangan yang semakin teruk, kelembapan ekonomi yang mendadak dalam rakan dagangan utama dan kelemahan yang berpanjangan dalam aktiviti pengeluaran global.

 

"Sama seperti eksport, kami menjangkakan import Malaysia meningkat tahun ini dan meningkat semula kepada 4.4%, berikutan permintaan domestik yang berkembang serta peningkatan aktiviti dalam sektor pembuatan," katanya. - DagangNews.com