KUALA LUMPUR 20 April - MIDF Research mengekalkan unjuran inflasi utama negara pada paras 2.5% bagi 2023.
Firma itu berkata, faktor tolakan penawaran dijangka berkurangan disebabkan peningkatan nilai ringgit, pembetulan sederhana dalam harga komoditi global dan aliran rantaian bekalan yang lebih baik.
"Berdasarkan pembentangan semula Bajet 2023, kami percaya kerajaan akan mengekalkan subsidi bahan api terutamanya RON95 status quo sehingga akhir tahun.
"Kami menjangkakan bahawa sebarang langkah subsidi bersasar untuk RON95 dan Diesel akan dilaksanakan pada 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Bagaimanapun, firma itu berkata, risiko utama terhadap inflasi di Malaysia adalah inflasi makanan yang berterusan selain konflik geopolitik yang meningkat di Kesatuan Eropah (EU).
BACA JUGA: Inflasi Malaysia berkurangan kepada 3.4% pada Mac 2023
https://www.dagangnews.com/article/inflasi-malaysia-berkurangan-kepada-34-pada-mac-2023-25914
Selain itu ia juga disebabkan lonjakan harga komoditi, nilai ringgit yang lemah dan kesan bencana alam boleh memberi kesan negatif terhadap trajektori harga makanan di Malaysia.
Terdahulu, inflasi di Malaysia susut kepada 3.4% pada Mac 2023, dengan indeks harga pengguna direkodkan pada 129.9, berbanding 125.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kenaikan inflasi yang lebih perlahan pada Mac 2023 didorong terutamanya oleh penurunan harga petrol tanpa plumbum RON97, yang mengurangkan inflasi bagi kumpulan pengangkutan kepada 2.4 %.
Ia sejajar dengan aliran penurunan harga minyak mentah Brent, iaitu pada AS$78.53 setong pada Mac 2023 (Mac 2022: AS$115.59). - DagangNews.com