MIDF Research kekal unjuran KDNK tahun ini berkembang pada kadar 4.2% | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran KDNK tahun ini berkembang pada kadar 4.2%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - MIDF Research mengekalkan unjuran bawah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada kadar 4.2% pada 2023.

 

Firma itu berkata, unjuran itu adalah pada kadar sederhana tetapi normal berbanding perkembangan kukuh 8.7% pada tahun lalu.

 

"Permintaan domestik akan kekal sebagai pemacu utama mengekalkan pertumbuhan positif, disokong oleh keadaan pasaran tenaga kerja yang menggalakkan, peningkatan aktiviti perniagaan, pemulihan dalam sektor pelancongan dengan peningkatan ketibaan pelancong dan tiada lagi halangan daripada langkah-langkah pembendungan.

 

"Sementara itu, perdagangan luar negara akan mengalami pertumbuhan yang lebih perlahan berikutan pertumbuhan ekonomi global yang sederhana," katanya dalam satu ota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan, peningkatan permintaan untuk produk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum ditapis dan komoditi untuk menyokong eksport Malaysia, walaupun prestasi tahun ini juga akan dipengaruhi oleh asas yang tinggi dan harga komoditi yang agak rendah.

 

Firma itu juga menjangkakan pembukaan semula ekonomi China akan memberikan limpahan positif kepada ekonomi Malaysia, walaupun kesannya masih belum dapat dilihat dalam prestasi perdagangan baru-baru ini.

 

"Walaupun inflasi berada dalam aliran sederhana, kami kekal berhati-hati bahawa risiko daripada inflasi yang tinggi, ketegangan geopolitik, dan kenaikan kos pinjaman, antara lain, akan menjejaskan prospek pertumbuhan Malaysia tahun ini," katanya. - DagangNews.com