MIDF Research kekal unjuran KDNK tahun ini berkembang pada kadar sederhana 4.2% | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran KDNK tahun ini berkembang pada kadar sederhana 4.2%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Jun - MIDF Research mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal pada kadar sederhana 4.2% pada tahun ini.

 

Firma itu berkata, unjuran itu adalah berdasarkan momentum pertumbuhan yang berkurangan pada bahagian akhir tahun dan prestasi perdagangan luar menunjukkan prestasi yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Selain itu, firma itu menganggap kadar inflasi negara akan kekal tinggi melebihi paras pra-pandemik.

 

"Bagaimanapun, kami percaya daya tahan dan pertumbuhan permintaan domestik yang mampan akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini.

 

"Ini akan disokong oleh pertumbuhan pekerjaan yang positif, aktiviti perniagaan yang semakin meningkat, pemulihan dalam sektor pelancongan dan ketibaan pelancong yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Prospek jangka pendek bagaimanapun berdepan risiko luaran seperti ketegangan geopolitik dan perdagangan, ketidaktentuan dalam pasaran kewangan dan kelembapan yang lebih ketara dalam permintaan global.

 

Terdahulu, pertumbuhan KDNK Malaysia menyederhana kepada 5.6% pada suku pertama 2023 melebihi ramalan firma itu dan jangkaan pasaran.

 

Seperti yang dijangka, permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, mengimbangi kesan permintaan luar yang lebih lemah.

 

Penggunaan swasta adalah teguh dan berdaya tahan berikutan inflasi yang sederhana dan guna tenaga yang lebih tinggi. - DagangNews.com